Rakyat Melaka Pilih Gelombang Biru, Tolak Retorik Politik

HANG TUAH JAYA, 14 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan mandat melebihi dua pertiga majoriti yang diperoleh BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan rakyat terus memberikan kepercayaan terhadap rekod pencapaian, kestabilan negeri.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata keputusan berkenaan mencerminkan penerimaan rakyat terhadap pendekatan dan tawaran pembangunan yang diketengahkan BN dan PN.

“Membuktikan bahawa rakyat Melaka terus memilih rekod pencapaian dan kestabilan serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan oleh BN dan PN berbanding retorik politik yang dimainkan sepanjang tempoh kempen.

“Kami amat bersyukur bahawa PRN Melaka kali ini sekali lagi memperlihatkan persahaman politik yang dibina dan kemantapan serta keikhlasan semakin subur serta diterima oleh rakyat secara keseluruhannya.

“Semangat kebersamaan antara BN dan PN sepanjang pilihan raya ini insya-Allah akan terus diperkukuhkan bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang insya-Allah lebih stabil, lebih kukuh dan lebih berwibawa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika sidang media ketika pengumuman keputusan PRN di Command Center Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.

Sementara itu, beliau turut berpandangan kemenangan ini sebagai isyarat positif kepada perkembangan sokongan rakyat terhadap BN, selain mencerminkan harapan agar momentum berkenaan dapat diteruskan ke peringkat Pusat.

“Semoga gelombang biru ini akan terus berkembang ke seluruh negara tatkala mandat dikembalikan pada rakyat untuk kita memilih kerajaan yang benar-benar mampu memacu kemakmuran, menjamin kestabilan dan membina masa hadapan yang lebih baik untuk Melaka dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” ujar beliau.

Terdahulu, BN mencatat kemenangan dengan memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN Melaka kali ini, manakala rakan strategik PN memenangi tiga kerusi dan Pakatan Harapan (PH) memperoleh empat kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN muncul sebagai gabungan yang memperoleh kerusi terbanyak, sekali gus membentuk majoriti lebih dua pertiga dalam DUN Melaka menerusi kerjasama bersama PN. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO