Tun Hussein Onn

TUN HUSSEIN ONN
(14 Jan 1976 – 28 Jun 1981)

LATARBELAKANG

Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12hb Februari, 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Datuk Onn bin Ja’afar dan Datin Halimah binti Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Beliau mendapat didikan awal di Singapura dan pelajaran menengahnya di English College, Johor Bahru. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor. Pada awal tahun 1941, beliau dihantar ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke-19 di India.

Apabila perang dunia kedua meletus, beliau berkhidmat di Timur Tengah. Setelah peperangan tamat beliau dihantar ke India di Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi. Memandangkan kepada pengalamannya yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaysia di Rawalpindi. Ketika itu beliau berpangkat Kapten.

Beliau pulang ke Malaya pada tahun 1945 dan bertugas sebagai Komanden Polis Depot, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam perkhidmatan tentera di Malaya, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Daerah Segamat dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kuala Selangor dan Kelang. Ketika itu British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union dan Datuk Onn sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO.

Berjuang di samping bapanya, Hussein Onn telah meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah untuk turut serta dalam kegiatan politik UMNO. Datuk Onn telah memberikannya tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO dan seterusnya dalam tahun 1950 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan. Semasa darurat beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di Johor. Tun Hussein keluar dari UMNO mengikut bapanya, setelah tercetus satu krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951. Seterusnya Datuk Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, malangnya parti itu tidak mendapat sambutan. Sewaktu bersara dari politik, beliau telah pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln’s Inn, England dan telah lulus sebagai seorang peguam pada tahun 1958.

Pada tahun 1968 atas desakan Tun Abdul Razak, Hussein Onn kembali menyertai UMNO. Pada bulan Jun 1969 beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi pilihanraya umum di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur, dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September, 1970. Sebagai Menteri Pelajaran beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pelajaran, termasuk mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Pada masa ini juga satu perjanjian antara Malaysia dan Indonesia mengenai sistem ejaan baru telah diadakan di Kuala Lumpur. Pada tahun 1972, Tun Hussein telah dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO.

Pada 13 Ogos 1973 pula, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat Tun Dr. Ismail yang telah meninggal dunia. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 14 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun Abdul Razak yang juga telah meninggal dunia. Berikutnya , beliau mengumumkan satu Kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana peluang-peluang yang luas diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalannya.

Dalam soal luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara luar termasuklah negara- negara barat dan lain-lain anggota ASEAN.

Pada akhir tahun 1977, krisis melanda Kerajaan Kelantan, berikutan dengan penyingkiran Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. UMNO telah menunjukkan jalan-jalan kepada PAS bagaimana menyelesaikan krisis itu tetapi tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan PAS. Kerana krisis itu mungkin membawa kepada keadaan huru hara, Tun Hussein Onn telah mengistiharkan darurat di negeri tersebut. Dalam bulan Mac 1978, satu pilihanraya diadakan bagi Negeri Kelantan, yang mengembalikan kerajaan Barisan Nasional setelah 18 tahun berada di tangan parti pembangkang.

Dalam Pilihanraya Umum yang diadakan pada tahun 1978, Barisan Nasional yang bermanifesto “A man whom you can trust” (Tun Hussein) telah beroleh kejayaan yang cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen, di samping menguasai semua kerajaan-kerajaan Negeri.

Dalam pergerakan UMNO, Tun Hussein Onn berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli dan pemimpin- pemimpin supaya parti dapat menghadapi cabaran-cabaran yang timbul. Selaku seorang yang tegas pendiriannya, telah mengambil beberapa tindakan bagi menghapuskan perbuatan rasuah dalam Kerajaan ataupun parti. Di samping itu beliau telah menerima desakan dari ahli-ahli supaya menghapuskan elemen-elemen yang disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan pro-Komunis. Bagi kemajuan parti, Tun Hussein telah melancarkan Koperasi Usaha Bersatu (KUB) pada bulan Mei 1977. Koperasi ini menerima keahlian daripada kalangan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu umumnya dengan tujuan memesatkan lagi penyertaan orang-orang Melayu dalam ekonomi.

Setelah memangku jawatan Presiden selama dua tahun, Tun Hussein Onn dipilih menjadi Presiden UMNO yang ke-4 dalam Perhimpunan Agung UMNO dalam tahun 1978. Beliau telah menewaskan penentangnya, Tuan Haji Sulaiman Palestin dengan memperolehi majoriti yang besar.

Dalam tahun 1979, Tun Hussein Onn telah melancarkan Rancangan Malaysia Ke-3 Peringkat Kedua dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru. Salah satu program di bawah Rancangan ini adalah untuk menambahkan peluang orang-orang Melayu dan kaum Bumiputra lain dalam pemilikan modal saham di sektor syarikat. Pada 9hb. Januari 1981 Tun Hussein Onn telah mengumumkan pindaan Hak Milik Skim Amanah Saham Nasional yang dikendalikan oleh Yayasan Pelaburan Bumiputra. Melalui Rancangan ini menunjukkan satu kemajuan telah dicapai dalam usaha Kerajaan menuju ke matlamat perpaduan negara dengan menseimbangkan kedudukan ekonomi antara kaum. Pada bulan April, 1981, beliau telah merasmikan pelancaran Skim Amanah Saham Nasional (ASN) yang kemudiannya mendapat sambutan yang menggalakkan dari rakyat.

Dalam tahun 1981, beliau menghadapi gangguan kesihatan dan telah pergi untuk mendapatkan rawatan di luar negeri. Walaupun rawatan itu berjaya, beliau merasakan keadaan kesihatannya tidak lagi membenarkan beliau untuk bergerak cergas dalam politik. Oleh itu beliau mengambil keputusan untuk bersara. Dengan keputusan ini, pada 16hb. Julai, 1981 Tun Hussein Onn telah meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Beliau digantikan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Sejak bersara dari politik, Tun Hussein Onn aktif pula dalam bidang sosial dan lain-lain membantu ke arah pembinaan negara. Apabila Universiti Islam Antarabangsa ditubuhkan beliau dilantik sebagai Presidennya yang pertama. Beliau adalah juga Pengerusi Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik, Penasihat Petronas dan Presiden Persatuan Orang-orang Buta Malaysia. Kini sebuah Hospital Mata telah mengabadikan namanya dan dikenali sebagai Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Tun Hussein mengumumkan penarikan diri daripada bertanding jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri atas faktor kesihatan pada Mei 1981 dan pemilihan parti berlangsung pada 28 Jun 1981. Beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Barisan National (BN) pada 15 Julai 1981 dan pada keesokannya, dia melepaskan pula jawatan sebagai Perdana Menteri.

Tun Hussein Onn meninggal dunia pada 29 Mei 1990 di Institut Jantung Pusat Rawatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat.