PRN Melaka: Tunai Kewajipan, Hargai Kelancaran Proses – Ab Rauf

TANJUNG BIDARA, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menzahirkan kesyukuran selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram, pagi ini.

Menurut Ketua Menteri Melaka,  proses pengundian yang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berlangsung dengan teratur dan lancar, sekali gus memudahkan urusan rakyat menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPR atas usaha menyediakan kemudahan serta memastikan kelancaran proses pengundian tanpa menyusahkan para pengundi yang hadir.

“Alhamdulillah… pagi ini saya telah menunaikan tanggungjawab sebagai seorang warga negara Malaysia dengan menggunakan hak untuk mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram,” katanya kepada media.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka, menyeru seluruh rakyat Melaka, khususnya pengundi di kawasan Tanjung Bidara, agar tidak melepaskan peluang untuk keluar mengundi hari ini.

“Saya harap kalau boleh, keluarlah mengundi seawal mungkin pada pagi ini kerana berdasarkan jangkaan, cuaca pada sebelah petang dijangka hujan.

“Bagaimanapun, kita telah menyediakan kemudahan bagi membantu pengundi sekiranya berdepan keadaan hujan,” katanya lagi.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya menggunakan hak masing-masing dengan hadir ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dan warga negara.

Seterusnya beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka, khususnya warga kawasan DUN Tanjung Bidara, atas sokongan dan kerjasama yang diberikan.

“Terima kasih banyak-banyak, warga Melaka. Terima kasih banyak-banyak, warga Tanjung Bidara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO