Busana Melayu Jadi Pilihan, Razali Anggap Hari Mengundi Seperti Hari Raya

JASIN, 14 Nov – Penampilan seorang pengundi, Razali Baba, 63, yang hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan mengenakan busana Melayu tradisional mencuri perhatian di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Merlimau, sekali gus menyerlahkan keunikan budaya dan identiti masyarakat Melayu.

Bagi Tok Sidang Merlimau Pantai itu, mengenakan pakaian tradisional setiap kali tiba hari pengundian sudah menjadi kebiasaan yang cukup istimewa buat dirinya.

Minat mendalam terhadap busana Melayu mendorong beliau menjadikan hari mengundi sebagai kesempatan untuk menggayakan pakaian warisan tersebut, selain menzahirkan kecintaan terhadap seni dan budaya bangsa.

“Setiap kali pilihan raya, saya memang akan memakai busana Melayu. Saya anggap hari pilihan raya ini seperti hari raya. Jadi, saya tunjukkanlah pakaian busana ini,” katanya.

Menurut Razali, amalan itu bukan sekadar memenuhi minat peribadi, sebaliknya menjadi cara tersendiri untuk menghidupkan suasana hari pengundian dengan penampilan yang berbeza dan penuh identiti.

Kehadirannya dengan busana tradisional turut memberikan warna tersendiri kepada suasana pengundian, membuktikan bahawa proses demokrasi juga boleh diraikan dengan cara yang unik tanpa melupakan akar budaya dan warisan bangsa.

Bagi Razali, hari mengundi bukan sekadar hari untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat, tetapi turut menjadi kesempatan untuk menampilkan keindahan busana Melayu yang menjadi kebanggaan masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO