UMNO Lancar Tabung Pendidikan Melayu Bantu Pelajar Memerlukan

KUALA LUMPUR, 7 Jun – UMNO hari ini melancarkan Tabung Pendidikan Melayu bertujuan membantu pelajar yang memerlukan untuk melanjutkan pelajaran.

Pelancarannya disempurnakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Pada perasmian itu, Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan masing-masing menyumbang RM5,000 dan RM3,000 bagi tabung tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata bantuan yang akan disalurkan menerusi tabung berkenaan, tidak hanya terhad kepada ahli UMNO malah terbuka kepada mana-mana pelajar Melayu dan bumiputera yang memerlukan.

“Tabung Pendidikan Melayu digagaskan ideanya oleh Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang lepas.

“…ia bagi membantu anak-anak Melayu yang memerlukan bantuan, contohnya (pelajar) yang menghadapi musibah atau tragedi secara sekali beri atau yang mahu melanjutkan pelajaran tetapi bermasalah untuk membayar wang pendahuluan,” katanya kepada media selepas Taklimat Presiden itu.

Pengerusi MARA itu turut berkata tabung berkenaan akan diaudit oleh pihak yang bertauliah, bagi memastikan ketelusan penyampaian bantuan terbabit dan akan dibentangkan secara terbuka kepada semua pihak. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit