Dato’ Sri Najib Tun Razak

YB DATO’ SRI HAJI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
(3 April 2009 – kini)

YB Dato’ Sri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keenam hingga kini sejak dilantik pada 3 April 2009. Selain menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau juga menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan 1 dan Presiden UMNO.

Najib yang dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 23 Julai 1953 merupakan anak sulung kepada Tun Abdul Razak Hussien dan Toh Puan Rahah Mohammad Noah. Tun Abdul Razak pula adalah bekas perdana menteri kedua Malaysia. Najib merupakan anak pertana menteri yang pertana mengulangi kejayaan bapanya dalam sejarah moden politik negara.

Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Institusi St. John, Kuala Lumpur, dan kemudian belajar di Kolej Lelaki Malvern di Worchestershire, England. Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian dalam bidang Ekonomi Industri daripada Universiti Nottingham, England pada tahun 1974.

Penglibatan Najib di dalam dunia politik bermula selepas kemangkatan bapanya secara mengejut pada 14 Januari 1976 akibat penyakit leukemia. Pilihan Raya Kecil (PRK) Pekan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi parlimen tersebut selepas kematian Tun Abdul Razak Hussien.

Najib yang ketika itu berusia 23 tahun dianggap terlalu mentah untuk dunia politik apatahlagi untuk mengambil alih kedudukan bapanya sebagai Ahli Parlimen. Ternyata beliau mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi mewarisi ketokohan almarhum bapanya apabila Najib yang dipilih untuk menjadi calon PRK di Parlimen Pekan, akhirnya menang tanpa bertanding sekaligus mencatat sejarah sebagai ahli parlimen termuda ketika itu.

Sejak itu satu demi satu jawatan mula disandang olehnya. Pada tahun 1978 ketika berusia 25 tahun, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos. Sekali lagi ianya menyaksikan Najib mencatat sejarah sebagai timbalan menteri paling muda dan kemudiannya beliau menjadi Menteri Besar paling muda dalam sejarah negara apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berusia 29 tahun pada tahun 1982 sehingga 1986.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau bagi mengukuhkan lagi potfolionya adalah jawatan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada tahun 1980-1981, Timbalan Menteri Kewangan (1981-1982), Kementerian Belia dan Sukan|Menteri Kebudayaan, Belia & Sukan (1986-1987), Menteri Pertahanan (1990-1995, 1999-2008) dan Menteri Pendidikan (1995-1999).

Di dalam UMNO pula beliau diberi kepercayaan apabila dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan ahli EXCO Pemuda UMNO pada 1976. Kemudian beliau dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO mulai tahun 1981.

Pada tahun 1982, Najib memenangi kerusi Naib Ketua Pemuda UMNO tanpa bertanding setelah Datuk Mokhtar Hashim mengosongkan jawatan itu.

Pada tahun 1987, Najib diumumkan sebagai Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO oleh Anwar Ibrahim setelah Anwar didesak untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Setelah UMNO ditubuhkan semula selepas diharamkan, Najib dilantik menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada 25 Mei 1988. Pada tahun 1993 pula, beliau bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, ekoran langkah Anwar untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Beliau terus mempertahankan jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti pada tahun 1993, 1996 dan 2000.

Pada 7 Januari 2004, Najib diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2008, beliau bertanding di parlimen Pekan yang membawa kemenangan dan mendapat undi sebanyak 36,262.

Setelah beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia yang memupuk perpaduan rakyat di antara kaum. Ia juga dijadikan tema kemerdekaan pada tahun 2009. Matlamat konsep 1 Malaysia ini adalah memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional yang mana ianya telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi.

Selaku Perdana Menteri yang prihatin dengan nasib rakyat pula, beliau telah memperkenalkan Projek BR1M untuk membantu rakyat Malaysia yang miskin dan tidak berkemampuan. Jumlah sebanyak RM 500.00 telah diberikan kepada isi rumah yang berpendapatan RM 3,000.00 sebulan.

Pemberian BR1M kali kedua telah dilancarkan pada Februari 2013 dan lebih 2.5 Billion telah diagihkan kepada rakyat Malaysia seluruh Malaysia.

Ini secara langsung akan melibatkan 5.7 juta isi rumah di seluruh Negara. Tambahan daripada RM 500 yang diagihkan oleh kerajaan kepada isi rumah, rakyat Malaysia yang belum berkeluarga akan menerima 250 dari projek BR1M.

Dalam pembentangan Bajet 2015 Datuk Seri Najib telah mengumumkan pemberian BR1M buat kali ketiga. Bagi isi rumah RM3,000 sebulan, pemberian meningkat daripada RM650 kepada RM950 yang akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali.

Bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,000 sehingga RM4,000 pula, kerajaan akan meningkatkan nilai BR1M daripada RM450 kepada RM750. Bantuan ini juga akan dibayar sebanyak tiga kali setahun. Kerajaan juga mengumumkan peningkatan nilai BR1M daripada RM300 kepada RM350 kepada individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Satu lagi ilham beliau demi membela nasib rakyat adalah Perumahan Rakyat 1 Malaysia. Ianya merupakan satu inisiatif yang dibuat dibawah peruntukan akta PR1MA 2012 untuk merancang, membangun, membina dan mengurus perumahan mampu milik bagi rakyat Malaysia yang berpendapatan pertengahan terutamanya di kawasan Bandar. Mereka yang berpendapatan pertengahan ini dikenalpasti dengan pendapatan bulanan antara RM 2,500-RM 7,500.

Selaku Perdana Menteri, beliau amat prihatin dengan tekanan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Bandar yang berpendapatan sederhana. Dengan perkembangan ekonomi Malaysia, beliau mengilhamkan untuk menstabilkan kehidupan rakyat terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan Bandar. Justeru itu, PR1MA akan memberi fokus kepada golongan pertengahan dengan harga rumah dari RM 100,000.00 ke RM 400,000.00 untuk dibina dibawah kawasan komuniti padat.

Pada 12 Mei 2018, Datuk Seri Najib meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN serta merta selepas kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 dan digantikan oleh Timbalan Presiden UMNO (yang menjalankan tugas-tugas Presiden), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

* Lagi info di najibrazak.com