PRN Melaka: Ridhwan Selesai Tanggungjawab Mengundi
HANG TUAH JAYA, 14 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang.
Beliau tiba di pusat mengundi bersama isterinya, Datin Dr Nur Azieha Ali kira-kira jam 8.46 pagi sebelum memasuki pusat pengundian untuk mengundi di saluran empat.
Selepas selesai mengundi, beliau yang ditemui media berharap agar pengundi untuk hadir lebih awal ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.
“Alhamdulillah pada pagi ni, bermulalah saatnya kita melakukan undian dan kepada pengundi-pengundi.
“Jangan lupa bersiap sedia, datang awal ke pusat pemungahan undi dan kita lakukan tanggungjawab memilih, ” katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan memanfaatkan keadaan cuaca yang baik pada sebelah pagi sebelum hujan dijangka berlaku pada sebelah petang.
“Pengundi-pengundi disarankan untuk memanfaatkan cuaca yang baik di sebelah pagi ini sebelum cuaca dijangka akan mula hujan bermula pada petang ini,” ujar beliau.
Untuk rekod, Mohd Ridhwan Mohd pada PRN ini berhadapan saingan dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan.
Untuk rekod PRN 2021 menyaksikan penyandang DUN Ayer Molek daripada BN, Datuk Rahmad Mariman memenangi kerusi berkenaan selepas meraih 6,348 undi, dengan majoriti 2,802 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan seramai 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam proses pengundian kali ini.
PRN kali ini menyaksikan seramai 79 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas bertanding bagi merebut 28 kerusi DUN, selepas proses penamaan calon berlangsung pada 31 Oktober lalu.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
