Jangan Alpa, Teruskan Misi Gelombang Biru – Mohd Isam

TABOH NANING, 3 Nov – Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak leka atau terlalu selesa dengan perkembangan positif dan gelombang sokongan yang semakin dirasai, sebaliknya terus memperhebat gerak kerja bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, setiap jentera perlu kekal berdisiplin, bekerja bersungguh-sungguh dan tidak mengambil mudah momentum yang sedang memihak kepada BN.

“Jangan alpa walaupun kemenangan itu sudah mula nampak di pihak kita. Teruskan gerak kerja bagi memastikan undi-undi diberikan kepada BN. Kita mahu melihat calon Pakatan Harapan (PH) tewas di kawasan yang ditandingi.

“Kemenangan hanya dapat direalisasikan sekiranya seluruh jentera terus komited memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab dan memberikan mandat kepada calon BN,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya lagi, momentum gelombang biru yang tercetus susulan kejayaan BN di Johor dan Negeri Sembilan turut memberikan suntikan semangat, namun setiap negeri mempunyai landskap politik dan cabaran tersendiri.

“Jentera tidak boleh menganggap gelombang sokongan di negeri lain akan diterjemahkan secara automatik di Melaka tanpa usaha berterusan. Gelombang di Johor berbeza, di Negeri Sembilan juga berbeza dan Melaka mempunyai keadaannya tersendiri. Jangan kita berasa terlalu selesa. Gerak kerja mesti diteruskan sehingga hari pengundian.

“Dengan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) mampu membuahkan hasil yang baik di Melaka. Malah, saya melihat peluang untuk BN memperoleh kemenangan besar adalah cerah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Isam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berpandangan pengundi Melaka semakin matang dan tidak mudah terpengaruh dengan permainan persepsi, fitnah serta isu-isu politik yang dibangkitkan pihak lawan sepanjang tempoh kempen.

“Pengundi sudah matang dan tahu menilai strategi pihak lawan. Apa sahaja isu atau persepsi yang dimainkan, saya yakin rakyat Melaka akan membuat pilihan berdasarkan rekod kerja dan khidmat yang telah diberikan.

“Di DUN Taboh Naning, calon BN, Datuk Zulkiflee Mohd Zin diterima baik masyarakat setempat. Beliau sudah melaksanakan tugas dengan baik dan mahu meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat,” jelasnya lagi.

Seterusnya kata beliau lagi, BN tidak memandang ringan kelompok pengundi muda kerana golongan itu mempunyai peranan besar dalam menentukan keputusan PRN kali ini.

“Pelbagai program, aktiviti kemasyarakatan dan inisiatif bantuan yang dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran negeri menjadi antara pendekatan untuk mendekati serta memahami keperluan anak muda.

“Harap golongan muda dapat menilai usaha dan komitmen yang telah dilaksanakan sebelum membuat keputusan pada hari pengundian,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO