PH Didominasi Dap, UMNO/BN Ada Rekod Untuk Rakyat – Ahmad Maslan
MELAKA, 3 Nov – Dominasi Dap dalam Pakatan Harapan (PH) menjadi antara alasan yang diketengahkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan untuk menjelaskan pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam landskap politik negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, komposisi kerusi yang dimiliki Dap berbanding parti lain dalam PH di beberapa negeri serta di Parlimen menjadi asas kepada hujahnya bahawa Dap merupakan parti dominan dalam gabungan berkenaan.
Menurut beliau, berdasarkan angka yang dikemukakannya, Dap memiliki 40 kerusi Parlimen berbanding PKR yang mempunyai 31 kerusi dan Amanah dengan lapan kerusi, sekali gus meletakkan Dap sebagai parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar antara ketiga-tiga parti tersebut.
“Di Parlimen ni ada 31 kerusi PKR, tapi empat orang dah cabut. Tuan-tuan, empat orang cabut daripada parti Perdana Menteri,.
“Begitu juga daripada 24 kerusi PH di Perak, 18 Dap. Daripada 27 kerusi PH di Pulau Pinang, 19 Dap,” katanya ketika berucap pada program Bersama Pemimpin di Simpang Bekoh, Rim di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan menegaskan perkara berkenaan tidak seharusnya disalahertikan sebagai penolakan terhadap masyarakat Cina dan sebagainya.
“Orang Melayu tak boleh nak terima Dap ni. Orang Melayu bukan anti-Cina. Kita ni anti-Cina ke? Tidak,’ tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan UMNO dan BN mempunyai asas perjuangan tersendiri yang berteraskan sejarah pembinaan negara serta rekod pembangunan sejak sebelum kemerdekaan.
Katanya, UMNO memainkan peranan penting dalam perjuangan mencapai kemerdekaan pada 1957, selain menerajui pelbagai usaha pembangunan negara merangkumi pembinaan jalan raya, bandar, sekolah dan hospital.
Beliau turut mengingatkan bahawa beberapa Perdana Menteri Malaysia, termasuk Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, mempunyai latar belakang kepimpinan UMNO.
Mengulas perkembangan di Melaka, Ahmad turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dengan menyentuh pelaksanaan 200 inisiatif baharu dalam tempoh tiga tahun yang menurutnya memberi manfaat kepada rakyat negeri itu.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri menjadi antara asas untuk BN meneruskan khidmat kepada rakyat.
Justeru, Ahmad Maslan menyeru masyarakat supaya menilai parti berdasarkan komposisi kepimpinan, rekod perjuangan serta keupayaan melaksanakan pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat. – UMNO Online
