Geng Biru Dekati Anak Muda, Puteri UMNO Yakin Sokongan Positif

MELAKA, 3 Nov – Pergerakan Puteri UMNO Melaka terus memperkukuh gerak kerja kempen di seluruh negeri bagi memastikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan penuh, khususnya anak muda dan wanita muda, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusuf berkata, jentera Puteri di enam bahagian telah menggerakkan pelbagai program mendekati masyarakat sejurus selesai proses penamaan calon, selain meneruskan gerak kerja digital bagi memperluas penyampaian maklumat dan tawaran BN.

Menurutnya, memasuki hari keempat kempen hari ini, jentera Puteri bukan lagi berada dalam fasa persediaan sebaliknya telah bergerak aktif di lapangan.

“Kalau ditanya mengenai gerak kerja masuk hari keempat ini, gear kita sudah bergerak. Kita bukan lagi dalam mod bersedia atau ‘standby mode’, sebaliknya sudah bergerak dan program-program juga telah dilaksanakan.

“Gerak kerja Puteri di enam bahagian berjalan seperti biasa, termasuk memperkukuh pendekatan digital. Kita juga akan meneruskan siri turun padang bersama kepimpinan Puteri UMNO Malaysia untuk menyantuni masyarakat di setiap bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO Melaka sepanjang tempoh kempen PRN negeri itu.

Mengulas pendekatan mendekati pengundi muda, Nurul Amirah berkata, identiti ‘Geng Biru’ yang dibawa Puteri UMNO menjadi antara pendekatan untuk mendekatkan BN dengan golongan berkenaan.

Katanya, penerimaan positif terhadap pendekatan itu dapat dilihat menerusi kehadiran anak muda yang bersama-sama menyertai gerak kerja dan aktiviti kempen BN di seluruh negeri.

“Baju biru atau Geng Biru ini saya boleh katakan berada merata-rata di seluruh negeri Melaka. Bagi saya, ini satu petanda positif apabila anak muda mula melihat tekad serta usaha yang telah dilaksanakan oleh BN Melaka berdasarkan rekod prestasi yang sedia ada.

“Alhamdulillah, saya melihat perkembangan yang positif dalam kalangan anak muda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pemilihan calon BN turut mengambil kira kewibawaan, kemampuan serta rekod khidmat calon kepada masyarakat, selaras dengan prinsip calon yang boleh menang dan diterima rakyat.

“Calon yang biasanya dipilih oleh BN adalah calon yang memang sudah buat kerja. Saya boleh katakan semua calon yang diketengahkan merupakan tawaran terbaik BN kepada rakyat Melaka.

“Seperti yang pernah disebut oleh Presiden UMNO, kita mengangkat calon yang winnable and likeable, iaitu calon yang bukan sahaja berpotensi menang, tetapi juga disenangi dan mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera Puteri UMNO di setiap bahagian supaya terus mengekalkan momentum kempen, khususnya dalam mendekati anak muda dan wanita muda yang menjadi antara kelompok penting dalam menentukan masa depan negeri.

Katanya, baki tempoh 10 hari kempen perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan memperkemas gerak kerja akar umbi serta memastikan setiap tawaran BN dapat disampaikan kepada golongan sasaran.

“Harapan saya agar Puteri di setiap bahagian teruskan momentum gerak kerja yang sedia ada dan kita kemaskan lagi pendekatan menyantuni orang muda serta wanita muda di negeri Melaka.

“Antara perkara yang kita nantikan ialah manifesto BN yang bakal diumumkan. Saya berharap ia menjadi harapan baharu dan menawarkan penyelesaian serta peluang yang lebih baik buat anak muda di negeri Melaka,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 14 Nov manakala pengundian awal pada 10 Nov. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO