Khidmat Rentas Kaum, Helmy Dekati Pengundi Tanpa Mengira Parti – Haryaty
MELAKA, 3 Nov – Rekod perkhidmatan yang merentasi kaum dan fahaman politik menjadi antara kekuatan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, dalam usaha mendapatkan kepercayaan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, pendekatan mesra rakyat yang diamalkan Helmy membuktikan bahawa khidmat seorang wakil rakyat tidak seharusnya terbatas kepada penyokong parti tertentu sahaja.
Menurut beliau, hubungan baik yang telah lama terjalin antara Helmy dengan masyarakat setempat menjadi kelebihan dalam usaha meraih sokongan pengundi pelbagai latar belakang.

Beliau berkata demikian ketika menyantuni masyarakat setempat menerusi program Duyong Duduk Semeja di Warung Santan, dekat sini, yang turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan serta pimpinan setempat.
“Perkhidmatan yang beliau berikan di Duyong ini merentasi semua bangsa dan parti. Cara beliau berkempen juga tidak hanya tertumpu kepada penyokong BN, sebaliknya mendekati semua lapisan masyarakat.
“Walaupun mereka penyokong parti lain, mungkin ada sentuhan dan khidmat yang telah diberikan oleh YB Datuk Mohd Noor Helmy yang membuatkan mereka bersedia memberikan sokongan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang dan kesediaan Helmy mendengar suara rakyat membuktikan komitmennya untuk memahami keperluan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.
Katanya, program berkonsepkan santai itu turut memberi ruang kepada penduduk untuk berkongsi pandangan serta mengetengahkan isu setempat, khususnya berkaitan pendidikan dan peluang kepada golongan muda.

Menurut Haryaty, pertemuan tersebut juga membolehkan ibu bapa menyuarakan perkara berkaitan pendidikan anak-anak untuk diberikan perhatian oleh pihak berkaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Seri Duyong mempunyai lebih 10,000 pengundi, sekali gus menjadikan usaha mendekati masyarakat secara berterusan penting bagi memastikan hubungan antara pemimpin dengan rakyat terus diperkukuh.
Jelasnya, sokongan rakyat perlu dibina menerusi khidmat, keprihatinan dan hubungan yang erat, bukannya berdasarkan kecenderungan politik semata-mata.- UMNO Online
