Perhebat Kempen, Sokongan Rakyat Terus Bertambah – Rais Yasin

SUNGAI UDANG, 3 Nov – Gelombang sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) di Melaka semakin menunjukkan peningkatan, sekali gus momentum positif mampu diterjemahkan kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, kekuatan jentera parti yang bergerak secara tersusun dan menyeluruh menjadi antara faktor penting dalam memastikan mesej serta tawaran BN sampai kepada setiap lapisan pengundi.

Jelasnya, ribuan bahan kempen termasuk risalah telah diedarkan kepada penduduk, selain penggunaan pendekatan digital menerusi e-handbill bagi memperluas capaian kempen.

“Alhamdulillah… semuanya berjalan dengan baik. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang bekerja keras turun padang mengedarkan risalah kepada masyarakat.

“Kita turut melaksanakan kempen e-handbill yang akan diperluaskan pada waktu dan hasil inisiatif Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh. Bayangkan kita mempunyai ribuan risalah untuk diserahkan dalam tempoh kempen ini dan Insya-Allah semuanya dapat disampaikan dengan sebaiknya.

“Saya berharap pengundi di DUN Sungai Udang memberikan peluang kepadanya untuk meneruskan khidmat dan tanggungjawab kepada rakyat sekiranya diberikan mandat,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu menjelaskan, rekod pentadbiran BN di Melaka membuktikan komitmen berterusan parti itu dalam menyediakan peluang pekerjaan, memperkasa bidang keusahawanan serta memenuhi keperluan golongan muda.

“Anak muda memerlukan peluang pekerjaan, ruang untuk menjadi usahawan serta perhatian terhadap keperluan dan aspirasi mereka. Sebab itu kita sentiasa berusaha menyantuni golongan ini.

“Kita juga telah mengetengahkan ramai pemimpin muda yang diberikan peluang untuk berkhidmat, antaranya calon BN bagi DUN Duyong iaitu Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Calon DUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, calon Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Dun Asahan, Datuk Dr Fairul Nizam Roslan dan kini turut menampilkan calon muda seperti Azril di DUN Rembia.

“Ini membuktikan BN bukan sekadar bercakap mengenai anak muda, tetapi turut memberikan ruang kepada mereka untuk memimpin dan membawa suara generasi baharu,” jelasnya.

Mengulas perkembangan gelombang biru yang diperlihatkan di Johor dan Negeri Sembilan, Rais berkata, beliau dapat merasakan momentum sokongan itu semakin mengukuh di Melaka, lebih-lebih lagi dengan penyelarasan gerak kerja yang semakin baik bersama Pas.

“Alhamdulillah, saya dapat merasakan gelombang itu semakin kuat. Tambahan pula, hubungan BN dengan Pas di Melaka kini lebih baik dan gerak kerja juga mempunyai penyelarasan yang lebih tersusun.

“Roh kebersamaan itu sudah ada dan saya yakin momentum ini mampu diterjemahkan menerusi kertas undi pada 14 November nanti,” ujarnya.

Untuk rekod, BN Melaka mempertaruhkan 21 calon bagi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 687,697 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Melaka ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 14 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 9 Nov(Jumaat). – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO