Isu MA63 Perlukan Kerjasama Strategik, Bukan Politik Pengasingan

KOTA KINABALU, 3 Nov – Perjuangan menuntut hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan kerjasama strategik dan kesepakatan semua pihak, bukannya pendekatan politik berasaskan pengasingan antara parti tempatan dengan parti nasional.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Samasuddin Yusop berkata, perjuangan merealisasikan MA63 serta memastikan kesetaraan Sabah dalam Persekutuan Malaysia merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut kematangan politik, persefahaman dan komitmen berterusan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee, berhubung peranan parti politik nasional serta kedudukan dan kuasa tawar-menawar Sabah dalam landskap politik negara.

Menurutnya, perkembangan positif dalam pelaksanaan tuntutan MA63 membuktikan bahawa pendekatan rundingan dan kesepakatan politik mampu menghasilkan pencapaian bermakna untuk Sabah.

Antara pencapaian tersebut termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2021 yang memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam kerangka pembentukan Malaysia, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah serta peluasan peranan agensi teknikal negeri dalam pelaksanaan projek pembangunan Persekutuan.

Selain itu, semakan dan peningkatan kadar Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan serta kesinambungan pembangunan infrastruktur strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah turut mencerminkan kepentingan hubungan kerja erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

“Kesemua perkembangan ini membuktikan bahawa kerjasama, rundingan dan kesepakatan politik merupakan pendekatan penting dalam memastikan tuntutan serta kepentingan Sabah dapat direalisasikan,” katanya.

Samasuddin menegaskan bahawa kekuatan sebenar dalam memperjuangkan hak Sabah tidak seharusnya diukur berdasarkan asal usul atau latar belakang sesebuah parti politik, sebaliknya melalui keikhlasan, ketegasan pendirian, keupayaan berunding dan keberkesanan tindakan.

Katanya, tuntutan rakyat perlu diterjemahkan kepada dasar serta pelaksanaan yang nyata dan bukannya terhenti pada retorik politik atau sentimen kepartian.

Justeru, beliau berpandangan pendekatan politik berbentuk konfrontasi, pengasingan atau penolakan terhadap kerjasama strategik hanya berpotensi melemahkan kesepakatan serta merugikan kepentingan Sabah dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, UMNO Sabah akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak, termasuk parti-parti tempatan dan rakan strategik di peringkat nasional, bagi memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta semangat MA63 terus dipertahankan dan dilaksanakan secara menyeluruh.

“Perjuangan mempertahankan hak Sabah harus berpaksikan kepentingan rakyat dan masa depan negeri, bukannya dibatasi sentimen kepartian atau perbezaan latar belakang politik.

“Hak Sabah ialah tanggungjawab bersama. Hanya melalui kesepakatan, kebijaksanaan dan kerjasama strategik yang berterusan, aspirasi MA63 dapat diterjemahkan kepada kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO