Noraini Seru Pengundi Pantai Kundor Sokong Tuminah
PANTAI KUNDOR, 12 Nov – Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) memperhebat gerak kerja pada fasa terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi membantu calon parti, khususnya calon wanita, mendapatkan sokongan pengundi menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jentera Wanita BN terus mempergiatkan usaha turun padang bagi mendekati pengundi serta menyantuni masyarakat dalam tempoh berbaki kempen yang tidak sampai 24 jam.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya turut merayu agar pengundi memberikan sokongan kepada calon-calon BN, khususnya calon wanita yang bertanding pada PRN kali ini.
“Rayuan itu turut ditujukan kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor supaya memberikan kepercayaan kepada calon BN, Datuk Tuminah Kadi, yang menggunakan nombor dua pada kertas undi.
“Saya percaya beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Beliau sudah melalui satu penggal dan berilah peluang untuk lima tahun akan datang bagi meneruskan usaha membawa hasrat serta agenda BN di negeri Melaka.
“Justeru, saya ingin merayu kepada semua pengundi agar memberikan kepercayaan, sokongan dan undi kepada calon BN, khususnya calon wanita BN,” katanya kepada UMNO Online.
Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menjelaskan, gerak kerja antara jentera Wanita BN dan Wanita Perikatan Nasional (PN) turut dilaksanakan menerusi pendekatan turun padang bersama bagi memperlihatkan kerjasama politik di peringkat negeri.
“Kedua-dua pihak telah beberapa kali menggerakkan aktiviti bersama bagi membantu calon masing-masing sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.
“Kerjasama serta kekuatan jentera di lapangan itu dapat diterjemahkan menerusi sokongan pengundi kepada calon BN dan PN pada hari pengundian Sabtu ini,” ujarnya. – UMNO Online
