Suara Rakyat Jadi Keutamaan Ridhwan Di Ayer Molek

HANG TUAH JAYA, 12 Nov – Pendekatan turun padang dan mendengar sendiri suara masyarakat menjadi antara tumpuan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dalam usaha memahami keperluan penduduk setempat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata ini kerana beberapa isu yang dibangkitkan penduduk sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan gambaran lebih jelas mengenai perkara yang memerlukan perhatian.

“Setakat ini, saya telah menyusuri beberapa kawasan di Ayer Molek dan mula menerima maklum balas yang baik daripada penduduk.

“Terdapat juga beberapa perkara yang sebelum ini mungkin kurang mendapat perhatian, namun kini dibangkitkan oleh penduduk dengan harapan ia dapat diberikan perhatian segera sekiranya saya diberi mandat,” katanya.

Ridhwan berkata demikian ketika ditemui UMNO Online ketika melakukan ziarah kasih di sekitar Seberang Anak Air.

Beliau turut memaklumkan antara perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan kumpulan nelayan di zon Ayer Molek.

Selain itu Ridhwan berkata, aduan penduduk termasuk di Kampung Seberang Anak Air juga akan diberi perhatian bagi memastikan setiap keperluan masyarakat tidak terpinggir.

“Sebelum ini, kita tidak mengetahui kewujudan kumpulan nelayan berkenaan yang mendakwa tidak menerima insentif atau bantuan daripada pihak berkaitan.

“Selain itu, terdapat juga aduan berkaitan kemudahan infrastruktur yang memerlukan perhatian pihak berwajib.

“Sebagai contoh, ketika berada di Kampung Seberang Anak Air petang tadi, penduduk turut menyuarakan beberapa isu infrastruktur yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkenaan.

“Insya-Allah, walaupun terdapat pelbagai aduan yang dibangkitkan, saya melihat penduduk bersedia untuk memberikan kerjasama bagi memastikan Ayer Molek terus biru dan agenda perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan,” ujar beliau.

Untuk rekod PRN 2021 menyaksikan penyandang DUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman memenangi kerusi berkenaan selepas meraih 6,348 undi, dengan majoriti 2,802 undi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.

DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO