Dira Mahu Teruskan Agenda Pembangunan, Modal Insan Di Rim
JASIN, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar mahu meneruskan agenda pembangunan infrastruktur dan modal insan sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, beberapa perancangan masih perlu dilaksanakan termasuk penambahbaikan infrastruktur kampung, kemudahan jalan raya serta akses bekalan air di kawasan tertentu.
Menurutnya, pembangunan berkenaan akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan keperluan penduduk setempat dapat diberi perhatian.

“Kalau diberikan mandat, kita banyak lagi perancangan yang nak disusun. Sebenarnya, saya buat fasa pertama dahulu dan kita selesaikan fasa pertama kerja.
“Dalam masa akan datang, kita akan lihat daripada segi pembangunan infrastruktur, pembaikan infrastruktur, bekalan air di kawasan tertentu, connectivity, accessibility dan juga infrastruktur kecil kampung khususnya jalan kampung,” katanya.
Beliau berkata, pembanguna modal insan turut menjadi antara keutamaan menerusi usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Melaka.
Katanya, pembangunan Melaka Centre of Excellence for TVET sedang dilaksanakan dengan
kerjasama rapat pihak industri bagi memastikan latihan yang diberikan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.
“Latihan yang bakal diberikan nanti adalah untuk kita pastikan yang dilatih ini akan terus mendapat kerja, diserap terus masuk dalam industri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa kawasan perindustrian baharu turut dirancang bagi menyokong perkembangan ekonomi negeri termasuk di Jasin dan Masjid Tanah.
Menurutnya, kesinambungan perancangan pembangunan negeri penting bagi memastikan rakyat Melaka tidak terlepas daripada manfaat yang sedang dirancang
Mengulas gerak kerja kempen, Khaidiriah berkata persiapan jentera BN berjalan lancar dan beliau terus turun padang menyantuni masyarakat termasuk di sekitar Pekan Jasin.
Beliau turut menyifatkan kerjasama antara wakil rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri sebagai penting dalam memastikan keperluan serta permasalahan rakyat di peringkat akar umbi dapat dibawa ke peringkat kerajaan negeri.
Katanya, usaha memperkenalkan potensi kawasan luar bandar termasuk produk tempatan dan kawasan ekopelancongan seperti Tasik Timah turut menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan yang perlu diteruskan. – UMNO Online
