Rais Yasin Tekad Pastikan Tangga Batu Beri Sumbangan Besar Kepada BN

SUNGAI UDANG, 12 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin menegaskan jentera parti di seluruh Parlimen Tangga Batu akan terus memperhebat gerak kerja bagi memastikan BN memperoleh sokongan di empat kerusi DUN yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Menurut beliau, jentera BN di DUN Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput dan Klebang kini memasuki fasa akhir kempen dengan komitmen untuk terus bekerja keras sehingga hari pengundian.

“Di Parlimen Tangga Batu, kita mempunyai empat kerusi iaitu N11 Sungai Udang, N12 Pantai Kundor, N13 Paya Rumput dan N14 Klebang. Kita akan terus bekerja keras untuk memastikan sumbangan daripada keempat-empat kerusi ini pada 14 November nanti.

“Saya mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh yang sentiasa memberikan suntikan semangat dan memastikan kami berada dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program bersama jentera BN di Sungai Udang, bertempat di Command Centre BN Tangga Batu, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid; calon BN bagi DUN Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi; calon BN bagi DUN Kelebang Datuk Lim Ban Hong serta jentera BN.

Seterusnya Rais berkata, pengalaman mewakili DUN Paya Rumput sebelum ini tidak menghalangnya daripada memberikan komitmen sepenuhnya kepada kerusi Sungai Udang apabila diberikan tanggungjawab untuk bertanding di kawasan berkenaan.

“Saya selalu katakan, orang yang paling mencorakkan kehidupan politik saya ialah Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

“Kalau orang bertanya mengapa saya berpindah ke sana dan ke sini, jawapan saya mudah. Saya orang parti. Di mana sahaja parti menghantar saya untuk bertanding, di situlah saya akan memberikan sepenuh komitmen bagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam masa sama beliau turut menghargai kerjasama semua komponen BN serta rakan-rakan parti yang bersama-sama menggerakkan kempen di kawasan berkenaan.

“Jutaan terima kasih kepada semua jentera yang tidak putus-putus memberikan bantuan. Tidak dilupakan juga jentera MCA, MIC, PBRS dan Friends of BN yang bersama-sama menjayakan gerak kerja ini.

“Kita mempunyai tekad dan azam untuk memastikan seluruh kerusi yang ditandingi BN dapat diberikan saingan menerusi usaha dan kerjasama semua jentera,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO