Hormati Institusi Raja, Junjung Prinsip Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara

JOHOR BAHRU, 12 Nov – UMNO Johor menggesa semua pihak, khususnya pemimpin politik, supaya menghormati kedudukan institusi Raja Berperlembagaan dan tidak mengheret institusi diraja ke dalam sebarang polemik politik, terutama membabitkan pelaksanaan kuasa pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan prinsip asas kenegaraan, sebaliknya semua pihak perlu terus menjunjung prinsip kedua Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Menurutnya, UMNO Johor menyokong kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan bahawa kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong wajib dihormati dan institusi diraja tidak seharusnya dijadikan medan pertikaian politik.

“Dalam apa jua perbezaan pendirian politik, prinsip kedua Rukun Negara mesti dijunjung, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Institusi Raja Berperlembagaan perlu dihormati oleh semua pihak dan tidak wajar diheret ke dalam polemik politik yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Md Israk berkata, mana-mana pihak yang masih mempunyai persoalan berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib sewajarnya mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri dan pihak berkuasa berkaitan.

Beliau turut merujuk rekod Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 yang mencatatkan penjelasan Perdana Menteri mengenai peranannya membawa permohonan pengampunan terdahulu untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.

“Perdana Menteri sendiri menyatakan, ‘Saya yang bawa kes pengampunan itu untuk dimasukkan dalam agenda.’

“Justeru, sekiranya masih terdapat persoalan atau keperluan mendapatkan penjelasan lanjut, Kerajaan Persekutuan wajar memberikan jawapan secara terus tanpa melibatkan institusi diraja dalam polemik berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, manakala petisyen Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Md Israk turut menegaskan bahawa UMNO Johor menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut dan menekankan bahawa pelaksanaannya hendaklah dihormati.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya apabila menyentuh institusi Raja-Raja Melayu.

Katanya, penghormatan terhadap institusi diraja bukan sekadar soal perbezaan pandangan politik, tetapi turut mencerminkan komitmen terhadap Perlembagaan Persekutuan dan prinsip kenegaraan yang menjadi asas perpaduan negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO