Jangan Ragu Beri Mandat Baharu Kepada BN – Mohamad Hasan
JASIN, 11 Nov – Timbalan Presiden UMNO yang juga Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau supaya keluar mengundi pada 14 November ini bagi memilih wakil rakyat yang akan membawa suara dan menjaga kebajikan mereka di peringkat kerajaan negeri.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan proses demokrasi biasa selepas tamat tempoh lima tahun penggal pentadbiran kerajaan negeri dan menjadi peluang kepada rakyat untuk menentukan wakil masing-masing.
Menurutnya, beliau yakin dengan rekod prestasi penyandang DUN Merlimau, Dr. Akmal Saleh yang telah melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sepanjang penggal 2021 hingga 2026.
“Saya tak perlu cakap tentang dia punya track record. Dia punya track record bukan orang Merlimau sahaja yang rasa bangga, tetapi saya sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya amat bangga kerana prestasi yang baik yang telah beliau tunjukkan.
“Selama satu penggal daripada 2021 sampai 2026, beliau telah menjalankan tugas dengan baik. Jika ada apa-apa kurang itu biasalah. Tetapi kita mesti lihat yang baik. 95 peratus baik, lima peratus masih lagi belum baik, kita bagi tahu sama dia,” katanya.
Mengulas kepentingan kestabilan politik, beliau berkata keadaan politik dan keselamatan antarabangsa yang tidak menentu menjadikan kestabilan Malaysia sebagai antara faktor penting dalam menarik kemasukan pelaburan asing.
Katanya, Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang stabil dalam rantau ASEAN, sekali gus memberi keyakinan kepada masyarakat antarabangsa dan pelabur untuk membawa masuk pelaburan.
“Johor tahun 2025 mendapat RM110 bilion pelaburan baharu. RM110 bilion bukan kecil. Negeri Sembilan cuma dapat RM5 bilion, itu pun sudah menempat. Tetapi Johor dapat RM110 bilion dan Melaka adalah negeri yang paling progresif dari segi membawa pelaburan,” katanya.
Beliau berkata Melaka kini memerlukan kawasan perindustrian baharu bagi menampung permintaan pelabur yang semakin meningkat, termasuk syarikat berkaitan industri pusat data.
Jelasnya, kemasukan pelaburan baharu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan, sekali gus membolehkan mereka membina kerjaya di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah ke Kuala Lumpur atau negeri lain.
Tambah beliau, sektor pelancongan juga merupakan antara kelebihan Melaka yang boleh terus dimanfaatkan dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi negeri. – UMNO Online
