‘Orang Melaka Lebih Selesa Kerjasama BN-PN’
HANG TUAH JAYA, 10 Nov – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berpandangan rakyat Melaka dan pendukung BN lebih selesa dengan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, berkata ini kerana kerjasama BN-PN tidak berdepan masalah untuk diterangkan kepada rakyat memandangkan keserasian antara kedua-dua gabungan itu semakin ditunjukkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya lihat hari ini tidak ada masalah hendak menjual kerjasama politik ini. Berbeza kalau kata BN nak bekerjasama dengan parti yang menghentam, mencerca, memaki kita secara terbuka dan akhirnya nak minta runding.
“Saya kata rakyat negeri Melaka dan pendukung-pendukung parti BN lebih senang kerjasama dengan PN daripada parti yang orang cakap parti Pakatan Harapan yang hanya menjual harapan,” katanya.
Armand berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan ceramah di Pentas Gelombang Biru BN-PN di Bukit Baru semalam.
Mengulas lanjut berdasarkan pemerhatian ketika turun padang, beliau berkata rakyat negeri ini menunjukkan minat untuk melihat kerjasama politik menerusi Muafakat Melaka direalisasikan.
Katanya ia sekaligus menjadi titik perubahan kepada landskap politik negeri itu.
“Jika dibandingkan dengan situasi politik di Johor dan Negeri Sembilan, konteks politik di Melaka agak berbeza. Saya melihat rakyat Melaka sudah mempunyai gambaran awal tentang kerajaan yang ingin mereka pilih.
“Ini kerana kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah melaksanakan gerak kerja yang baik, selain mempunyai barisan wakil rakyat termasuk Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan ramai lagi pemimpin yang telah diberikan amanah untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Jika pencapaian kerajaan negeri itu diibaratkan seperti buku penilaian di sekolah, saya melihat rekod yang ditunjukkan berada pada tahap yang tinggi,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
