Manfaatkan Baki Tempoh Kempen, Terus Dekati Pengundi – Sharkar

JASIN, 10 Nov – Seluruh jentera Barisan Nasional (BN) perlu memanfaatkan sepenuhnya baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mempergiat usaha mendekati pengundi serta memastikan kerjasama dan muafakat antara satu sama lain terus diperkukuh sehingga wisel penamat ditiup pada jam 12 tengah malam Sabtu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, semangat kebersamaan dan kerja berpasukan perlu terus menjadi keutamaan bagi memastikan setiap gerak kerja membantu calon-calon BN dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

Menurut beliau, semua pihak perlu saling membantu, melengkapi dan memberikan komitmen sepenuhnya dalam usaha membantu kemenangan BN Sabtu ini.

Beliau berkata demikian ketika meneruskan gerak kerja kempen BN di Parlimen Jasin bersama Menteri Besar Pahang  melibatkan beberapa kawasan DUN, iaitu N.27 Merlimau, N.25 Rim, N.26 Serkam dan N.28 Sungai Rambai.

Selesai program di Jasin, beliau bersama rombongan turut singgah ke DUN N.21 Duyong bagi meneruskan usaha menyantuni masyarakat, memperkukuh gerak kerja jentera serta memberikan sokongan kepada calon BN di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan, kesatuan dan kerja berpasukan, kita terus melangkah untuk memastikan kemenangan BN di Melaka,” ujarnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO