PRN Melaka: Semangat Anak Muda Duyong Petanda Positif Buat BN
DUYONG, 11 Nov – Kehadiran ribuan anak muda pada program Jelajah Esports Melaka Biru 2026 di Duyong mencerminkan sambutan positif golongan belia terhadap pendekatan Barisan Nasional (BN) dalam mendekati generasi muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau teruja melihat semangat anak-anak muda Duyong yang tetap hadir beramai-ramai ke program berkenaan walaupun dalam keadaan hujan.

KOTA MELAKA 10 November — Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional ( BN ) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkesempatan hadir menyempurnakan Majlis Peluncuran AZH Jelajah Esports Melaka Biru 2026 di Restoran Selera Hang Tuah, Duyong, Melaka sempena Pilihan Raya Negeri Melaka malam tadi.Turut hadir calon BN Duyong Datuk Noor Helmy Abdul Haleem serta calon BN Ayer Molek Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.- Foto : UMNO – Online
Menurut beliau, penyertaan golongan muda dalam program seumpama itu membuktikan bahawa pendekatan mendekati anak muda melalui minat dan bakat mereka perlu terus diperkasakan.
“Bagi saya, e-sukan kini bukan lagi hanya hobi. Kalau digilap dengan betul, bakat anak-anak muda ini mampu pergi jauh, malah boleh menjadi sumber pendapatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan seramai 3,200 peserta dari seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka telah mendaftar bagi menyertai siri jelajah berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut menghargai kehadiran calon BN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang bersama-sama menyantuni golongan belia Duyong, sekali gus memperlihatkan kepentingan hubungan rapat antara
kepimpinan dan masyarakat setempat.
Menurutnya, hubungan baik dengan anak muda perlu terus diperkukuh melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan memahami keperluan generasi baharu.
Ahmad Zahid berharap anak-anak muda Duyong dan seluruh Melaka terus berani mengejar cita-cita serta memanfaatkan peluang yang tersedia untuk membina masa depan lebih baik. – UMNO Online
