BN Syukur Najib Dibenarkan Jalani Tahanan Dalam Rumah – Ahmad Zahid

MELAKA, 10 Nov – Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membolehkan Datuk Seri Najib Abdul Razak pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan dalam rumah berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu disambut penuh kesyukuran oleh kepimpinan UMNO, ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang turut mengikuti perkembangan dan mendoakan kesejahteraan bekas Perdana Menteri itu.

“Atas nama kepimpinan UMNO Barisan Nasional, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia keseluruhannya, kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi untuk pulang ke rumah bagi menjalani tahanan dalam rumah serta-merta,” katanya dalam siding media, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukumannya di rumah.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat, ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyumbangkan dana menerusi kutipan dana awam (crowdfunding) sehingga mencapai RM50 juta bagi memenuhi syarat denda yang dikenakan.

“Ini merupakan rasa syukur yang amat sangat daripada kami. Terima kasih juga kepada pihak-pihak yang turut mendoakan agar Datuk Seri Najib dapat berada di rumah bersama keluarga mulai hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berharap perkembangan berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak, khususnya pengamal undang-undang dan pihak yang bertanggungjawab dalam bidang perundangan, supaya sentiasa menghormati peruntukan Perlembagaan.

“Mudah-mudahan apa yang sedang dan telah berlaku ini memberikan pengajaran kepada kita semua. Patuhilah titah dan kuasa Tuanku kerana perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan itu adalah supreme dan harus dipatuhi,” katanya.

Beliau turut berharap segala polemik berhubung perkara itu dapat ditamatkan dan semua pihak memberikan ruang kepada Najib untuk bersama keluarganya.

“Kita tutup buku untuk pengwujudan polemik. Tidak ada polemik lagi selepas ini. Kita berdoa agar Datuk Seri Najib tenang berada di rumah bersama keluarga dan semoga Allah Taala mempermudahkan segala urusan beliau selepas ini,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid turut menyatakan penghargaan terhadap jangkaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kadar keluar mengundi yang dianggarkan sekitar 95 peratus, sekali gus menghampiri sasaran yang diharapkan.

Beliau berharap trend positif itu berterusan sehingga hari pengundian pada 14 haribulan ini, dengan kadar keluar mengundi yang lebih tinggi bagi menyokong usaha BN untuk membirukan seluruh negeri Melaka.

Mengulas peletakan jawatan seorang anggota Jemaah Menteri, Ahmad Zahid berkata beliau menghormati keputusan tersebut dan menyifatkan individu berkenaan sebagai seorang yang berprinsip.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas khidmat sepanjang berada dalam Kabinet serta mengakui kehilangan itu dirasai oleh barisan Jemaah Menteri.

“Saya ucapkan terima kasih selama beliau berada sebagai anggota Jemaah Menteri. Kebetulan beliau duduk sebelah kanan saya dalam mesyuarat Kabinet dan kami kehilangan beliau dalam Kabinet.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya berada di luar Kabinet,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO