Aduan Rakyat Bukan Sekadar Didengar, Mahu Penyelesaian – Abdul Hakim

LENDU, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid menegaskan komitmennya untuk memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat, khususnya berkaitan pembangunan setempat dan isu banjir sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Menurut beliau, baki hari kempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk terus mendekati dan menyantuni pengundi di seluruh DUN Lendu, termasuk penduduk di kawasan taman perumahan serta kampung-kampung tradisional.

“Sepanjang tempoh berkempen dan menyantuni masyarakat, saya menerima pelbagai aduan serta keluhan rakyat, khususnya melibatkan masalah di kampung-kampung dan taman perumahan.

“Justeru, perkara-perkara inilah yang akan menjadi keutamaan saya sekiranya diberikan mandat pada 14 November nanti. Saya mahu melihat sendiri setiap permasalahan yang dibangkitkan dan berusaha memastikan ia mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya.

“Keperluan rakyat sentiasa berubah dan masalah baharu akan terus timbul dari semasa ke semasa, sekali gus menuntut kesinambungan usaha serta pendekatan lebih berkesan dalam memastikan kebajikan penduduk tidak terabai,” katanya.

Mengulas lanjut, Hakim memberi perhatian serius terhadap isu banjir yang masih membelenggu beberapa kawasan di Lendu.

“Saya melihat usaha menangani masalah banjir ini sudah melalui beberapa fasa. Namun, masih ada kawasan-kawasan terpencil yang perlu dikenal pasti, diteliti dan diberikan penyelesaian, termasuk melalui pelaksanaan projek saliran serta langkah mitigasi yang bersesuaian.

“Jika diberikan kepercayaan oleh rakyat, saya mahu memastikan isu-isu seperti ini terus diberi perhatian dan tidak dibiarkan berlarutan,” katanya lagi.

Ujarnya, mandat rakyat bukan sekadar satu kepercayaan politik, sebaliknya amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui kerja keras, tindakan dan penyelesaian sebenar terhadap masalah penduduk. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO