Melaka Teruskan Gelombang Biru, Manifesto Jadi Taruhan
ALOR GAJAH, 9 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menyifatkan gelombang biru di Melaka mula menunjukkan perkembangan positif berdasarkan sambutan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata ini kerana, perkembangan itu dapat dilihat menerusi kecenderungan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN), selain persepsi negatif yang menurutnya semakin membayangi imej parti lawan.
“Saya melihat kecenderungan yang cukup positif terhadap BN, mereka menunjukkan sokongan dan keyakinan untuk mengundi BN.
“Parti yang satu lagi ini imejnya penipu… parti satu lagi itu imejnya baru tetapi lebih kurang sama dengan parti yang penipu,” katanya.
Manndzri berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi Felda Hutan Percha, baru-baru ini.
Sementara itu katanya keyakinan terhadap BN turut didorong kepimpinan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang disifatkan telah melaksanakan usaha terbaik dalam menerajui pentadbiran negeri.
Katanya, pelancaran manifesto BN dan Perikatan Nasional (PN) juga memperlihatkan kesungguhan gabungan itu yang menawarkan perancangan yang jelas, dan realistik.
“Pelancaran manifesto bersama juga merupakan satu perkembangan positif kerana segala tawaran yang dikemukakan dilihat tersusun, smart, specific, measurable, achievable dan workable untuk dilaksanakan.
“Bagaimanapun, rakyat Melaka perlu benar-benar memanfaatkan peluang ini dengan memberikan sokongan kepada BN bagi meneruskan kecemerlangan pentadbiran negeri
“Kenangan BN di Melaka juga dilihat penting dalam memperkukuh kesinambungan gerakan politik bersama Johor dan Negeri Sembilan bagi membawa agenda berkenaan ke peringkat lebih luas,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
