Isyarat Positif Kebangkitan Gelombang Biru Di Melaka
ALOR GAJAH, 8 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyifatkan keputusan mengekalkan calon penyandang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 sebagai pengiktirafan terhadap rekod perkhidmatan dan khidmat bakti mereka kepada rakyat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, calon yang diberikan kepercayaan semula sudah melalui penilaian berdasarkan prestasi serta maklum balas masyarakat sepanjang tempoh hampir lima tahun lalu.
“Antaranya termasuk penyandang DUN Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan; DUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; DUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh; DUN Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
“Mereka merupakan penyandang yang mempunyai rekod perkhidmatan untuk dinilai sepanjang tempoh empat tahun 10 bulan lalu.
“Saya percaya maklum balas rakyat terhadap khidmat yang diberikan menjadi antara pertimbangan dalam mengekalkan calon-calon berkenaan,” katanya.
Abdul Rahman berkata demikian ketika ditemui UMNO Online pada Santai BBQ Anak Muda @ DUN Asahan yang diadakan baru-baru ini.
Mengulas peluang BN pada PRN kali ini, beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, rakyat Melaka menunjukkan respon positif terhadap usaha gabungan itu untuk kembali menerajui pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, katanya, perkembangan itu tidak seharusnya menyebabkan jentera parti mengambil mudah persaingan, sebaliknya semua calon perlu terus bekerja keras mendekati pengundi.
“Rakan-rakan gabungan seperti MCA dan MIC juga dilihat bekerja keras, termasuk rakan baharu dalam gabungan ini. Maklum balas yang saya terima menunjukkan mereka komited untuk turun berkempen bagi memastikan Melaka kembali diperintah BN.
“Saya berharap gambaran positif ini dapat diterjemahkan kepada keputusan pada hari pengundian nanti. Walaupun masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan, berdasarkan pemerhatian di lapangan, saya yakin BN berpeluang meningkatkan majoriti yang diperoleh pada PRN lalu,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
