‘Jangan Mudah Terpengaruh Permainan Politik Media Sosial’
HANG TUAH JAYA, 9 Nov – Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan berharap pengundi untuk lebih berhati-hati dan bijak menilai isu yang dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata ini kerana tidak semua maklumat yang disebarkan di media sosial menggambarkan keadaan sebenar.
“Rakyat kena berhati-hati dengan permainan politik melalui media sosial kerana ada perkara yang betul dan ada juga yang tidak betul.
“Sudah pasti kita juga memainkan peranan untuk memberi penjelasan kepada rakyat, terutamanya pengundi-pengundi di Melaka,” katanya.
Sumali berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan ziarah kasih di Seberang Anak Air, semalam. Turut hadir calon Dewan Undangan Negeri BN Ayer Molek,Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Sementara itu beliau berkata, pengundi sewajarnya membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan termasuk komitmen pemimpin yang sentiasa turun padang mendekati masyarakat.
Sumali dalam pada itu turut menyuarakan keyakinan terhadap perkembangan gelombang biru di Melaka yang disifatkannya semakin positif menjelang hari pengundian PRN Melaka.
“Saya yakin para pengundi bijak membuat penilaian dan mengetahui parti yang telah lama mereka kenali, iaitu BN termasuk pengalaman melalui pelbagai fasa sebelum ini.
“Malah saya juga melihat gelombang biru di Melaka semakin besar dan amat yakin pengundi akan membuat pilihan yang tepat, bukan berdasarkan apa yang dimainkan di media sosial,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
