Manifesto BN Realistik, Komitmen Boleh Ditunaikan – Abdul Razak
KOTA MELAKA, 9 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dibentangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai tawaran realistik dan berteraskan keperluan rakyat, dengan komitmen yang diyakini mampu dilaksanakan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
Calon BN DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, manifesto berkenaan merangkumi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk bekalan air percuma, peluang pekerjaan, perkhidmatan ambulans percuma serta bantuan kepada pasangan muda yang bakal mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, manifesto yang baik bukan sekadar menawarkan pelbagai janji, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan untuk melaksanakannya demi memastikan rakyat benar-benar mendapat manfaat.
“Manifesto semalam yang telah dibentangkan, satu manifesto untuk rakyat sepenuhnya. Ini bukan satu manifesto yang macam saya sebut tadi, manifesto ini manifesto yang boleh kita tunaikan.
“Kita tak nak janji bulan dan bintang, tetapi akhirnya kita tak dapat laksanakan dan tidak boleh memberi manfaat kepada rakyat di Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh sasaran menarik 25 juta pelancong dan pengunjung ke Melaka sebagai antara agenda penting pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan perkembangan sektor pelancongan negeri yang sebelum ini merekodkan kehadiran antara 14 juta hingga 16 juta pelancong dan pengunjung setiap tahun.
Beliau yang pernah memegang tanggungjawab sebagai Exco Pelancongan negeri berkata, pengiktirafan UNESCO serta penganjuran World Tourism Day dan World Tourism Conference yang menghimpunkan penyertaan 159 negara turut membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan Melaka di peringkat antarabangsa.
“Maknanya mereka ini secara langsung menjadi duta kepada pelancongan di Melaka. Saya cukup yakin sasaran kita 25 juta ini boleh kita capai kerana Melaka salah satunya kita dah dapat pengiktirafan UNESCO,” katanya.
Beliau berkata, Melaka juga telah mempunyai pelan tindakan atau blueprintpelancongan sebagai panduan untuk memperkukuh sektor berkenaan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
Tambahnya, pengalaman serta hubungan kerja dengan pemain industri pelancongan sepanjang menerajui sektor itu sebelum ini menjadi asas penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan pelancongan negeri.- UMNO Online
