Manifesto BN- PN, Beri Keutamaan Rakyat Melaka – Rosli Abdullah

MASJID TANAH, 9 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah menegaskan bahawa setiap tawaran yang dikemukakan bukan sekadar janji manis.

Katanya, setiap tawaran yang terkandung dalam manifesto berkenaan sebagai satu aku janji yang wajib diberi perhatian dan dilaksanakan sekiranya BN diberikan mandat oleh rakyat.

“Manifesto BN dirangka dengan memberi keutamaan kepada kepentingan, kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat, selain menjadi panduan kepada BN dalam melaksanakan tanggungjawab pentadbiran.

“Manifesto ini bukan sekadar untuk dijadikan gula-gula pilihan raya. Ini adalah aku janji kami kepada rakyat. Sekiranya diberikan mandat, insya-Allah segala yang dijanjikan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Kita akan terus berusaha mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dan memastikan setiap perancangan serta tawaran dalam manifesto ini diterjemahkan kepada pelaksanaan demi kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menegaskan BN tidak mahu manifesto hanya gah di atas kertas, sebaliknya komited memastikan setiap janji ditunaikan melalui kerja dan hasil yang dapat dirasai sendiri oleh rakyat.

Mengulas lanjut Rosli menyifatkan gelombang biru yang semakin dirasai ketika ini sebagai petanda positif terhadap kebangkitan semangat rakyat, khususnya dalam memperkukuh perpaduan dan memastikan kesinambungan kepimpinan BN di Melaka.

“Momentum kebangkitan itu perlu terus diperkasakan menerusi kesatuan hati, semangat perjuangan serta sokongan rakyat bagi memastikan BN kembali memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

“Perkembangan positif sepanjang tempoh kempen menjadi pembakar semangat kepada seluruh jentera BN untuk terus bekerja keras, sekali gus meyakinkan rakyat terhadap keupayaan parti itu membawa hala tuju pembangunan negeri,” ujarnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 687,697 pemilih berdaftar yang layak mengundi bagi PRN Melaka ke-16, berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan April 2026 yang diwartakan pada 14 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari mengundi bagi PRN Melaka manakala undi awal pada 10 Nov.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 13 Nov(Jumaat). – UMNO Online.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO