AG Perlu Bertindak Adil, Bebas Tanpa Dipengaruhi Kepentingan Politik – Sollehin

LENDU, 8 Nov – Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohd Tajie menegaskan Peguam Negara (AG) perlu melaksanakan tanggungjawab secara adil, bebas dan profesional tanpa dipengaruhi kepentingan atau percaturan politik mana-mana pihak.

Menurutnya, Peguam Negara tidak seharusnya menjadi alat atau ‘trojan horse’ kepada mana-mana pihak, sebaliknya perlu bertindak berlandaskan prinsip undang-undang serta menjunjung keputusan institusi tertinggi negara.

“AG harus bertindak dengan adil. Beliau tidak perlu menjadi ‘trojan horse’ kepada sesiapa atau bergerak mengikut naluri politik parti tertentu.

“Beliau seharusnya bergerak secara bebas selaku pengamal undang-undang dan harus akur dengan apa yang telah dinyatakan serta diputuskan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Sollehin turut mempersoalkan tindakan tersebut  yang dibuat selepas pembayaran denda RM50 juta bagi pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Saya tidak tahu sama ada Peguam Negara baru menyedari perkara itu belum dikaji, tetapi tujuh minggu adalah tempoh yang mencukupi untuk beliau meneliti kesan (selepas) pembayaran dilunaskan.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara.Kalau Datuk Seri Najib Razak dibebaskan (menjalani tahanan di rumah), sudah tentu ia memberi semangat lebih kuat kepada jentera UMNO dan BN,” katanya lagi.

Sehubungan itu Mohammad Sollehin menyatakan BN kekal optimis dengan momentum kempen di Melaka dan yakin gabungan itu mampu memperoleh sokongan pengundi pada 14 November ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah memaklumkan bahawa parti itu juga telah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Tambahnya, kutipan dana menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sudah mencapai sasaran dan mencukupi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO