‘Calon BN Miliki Kaliber, Kemampuan Tersendiri’
HANG TUAH JAYA, 8 Nov – Ketua Penerangan MUBARAK Malaysia, Datuk Dr Norsabrina Mohd Noor, berpandangan Barisan Nasional (BN) mengetengahkan gabungan kepimpinan berpengalaman dan muka baharu yang keupayaan tersendiri bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan di Melaka.
Beliau berkata calon muda yang dipilih juga bukan sekadar mengisi ruang kepimpinan baharu, sebaliknya mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman kerjaya yang membuktikan kemampuan masing-masing.
“Sebagai pemimpin, memang ada yang telah diberikan tanggungjawab sebagai exco dan penyandang, kemudian kesinambungan itu diteruskan oleh orang baharu, golongan muda.
“Tetapi calon yang kita pilih untuk menyambung legasi itu bukan calang-calang. Mereka mempunyai latar belakang dan keupayaan tersendiri,” katanya.
Norsabrina berkata demikian ketika ditemui UMNO Online selepas mengadakan kempen bersama calon BN Dewan Undangan Negeri Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali di Pasar Malam, baru-baru ini.
Katanya, pemilihan calon juga bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira pencapaian dan kemampuan mereka dalam bidang masing-masing.
“Contohnya Datuk Mohd Ridhwan di Ayer Molek yang mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang sangat baik hasil usaha serta pencapaian beliau sendiri.
“Gabungan calon yang berkaliber dan mempunyai kemampuan tersendiri ini penting untuk membawa BN terus kukuh di Melaka, selain memperluas momentum gelombang biru ke seluruh negera,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
