Wanita UMNO, Muslimat PAS Buat Laporan Polis Terhadap Peguam Negara
KOTA MELAKA, 8 Nov – Wanita UMNO Sabah, Penerangan Wanita UMNO Melaka, Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Dewan Muslimat PAS Kota Melaka serta aktivis NGO membuat laporan polis terhadap Peguam Negara berhubung penangguhan pelaksanaan hukuman tahanan di rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.
Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kandang itu diketuai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi HAWA Malaysia, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.
Menurut Rosnah, pihaknya mengutuk keras tindakan Peguam Negara berkenaan kerana didakwa mempertikaikan titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
“Kami sebelas orang dan bersama-sama dengan pimpinan Wanita UMNO, Wanita Barisan Nasional dan juga Dewan Muslimat PAS mengutuk keras tindakan Peguam Negara yang telah menangguhkan penahanan Datuk Seri Najib di rumah sebahagian daripada titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Kuasa ini dijamin di bawah Perkara 42 Perlembagaan Malaysia yang telah dipertikaikan pasalnya oleh Peguam Negara,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu polemik yang memperlihatkan Peguam Negara tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, beliau berharap tindakan dapat diambil terhadap Peguam Negara yang didakwa mempertikaikan serta tidak memberi keutamaan kepada titah yang telah dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Rosnah berkata barisan kepimpinan wanita daripada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional turut menyatakan solidariti bersama keluarga Datuk Seri Najib.
“Kami mendoakan semoga keluarga Datuk Seri Najib terus tabah untuk menghadapi cabaran demi cabaran yang dilemparkan oleh bukan sahaja daripada Peguam Negara tapi kerajaan.
“Kami merasakan ketidakadilan yang begitu teruk sekali dipertontonkan oleh kerajaan ini dan dipertontonkan oleh Peguam Negara yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Peguam Negara yang bertanggungjawab dan bukan terbawa-bawa dengan polemik ataupun politik yang tidak berkesudahan seperti yang disaksikan pada hari ini,” katanya. – UMNO Online
