Pendedahan Pentadbiran Negeri Jadi Kelebihan Abdul Hakim – Sulaiman
LENDU, 8 Nov – Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid sebagai antara pelapis yang telah diberikan pendedahan serta bimbingan mencukupi untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, Abdul Hakim bukanlah individu baharu dalam perjuangan UMNO, sebaliknya mempunyai pengalaman luas dalam parti termasuk pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian sebelum diberi kepercayaan sebagai setiausaha politik ketika beliau menerajui pentadbiran negeri Melaka.

Menurutnya, pengalaman bekerja rapat dengan kepimpinan negeri turut memberikan Abdul Hakim pendedahan secara langsung mengenai urusan pentadbiran, kepimpinan serta keperluan rakyat.
“Abdul Hakim pernah menjadi Ketua Pemuda Bahagian dan saya ambil dia jadi setiausaha politik. Selepas itu beliau sambung menjadi setiausaha politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh.
“Pada saya, beliau mempunyai cukup ilmu yang telah dihadamkan dan dapat dimanfaatkan kepada rakyat. Beliau juga mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati dan meyakinkan pengundi Lendu,” katanya.
Mengulas lanjut, Sulaiman yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah menambah, sebagai calon baharu daripada golongan muda, beliau mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati dan menawan hati pengundi.

“Saya dengan cara saya, Abdul Hakim sebagai orang muda ada pendekatan beliau sendiri untuk menawan hati pengundi. Malah bapanya amat dikenali dalam kalangan penduduk di DUN Lendu,” katanya lagi.
Seterusnya kata beliau, DUN Lendu mempunyai rekod tersendiri apabila tidak pernah jatuh ke tangan parti lain dan BN beriltizam untuk mengekalkan penguasaan kerusi berkenaan.
“DUN Lendu tidak pernah jatuh ke tangan parti lain dan kita akan pastikan DUN Lendu masih kekal dikuasai BN pada PRN ini,” ujarnya. – UMNO Online
