Wanita UMNO Selangor Desak Peguam Negara Direhatkan

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Wanita UMNO Selangor mendesak agar Peguam Negara segera direhatkan dan mengambil cuti sementara waktu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengenai isu melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Halimaton Saadiah Bohan berkata, isu tersebut menyentuh persoalan yang jauh lebih besar, iaitu penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, kewibawaan titah Yang di-Pertuan Agong dan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Wanita UMNO Negeri Selangor memandang serius perkembangan terkini berhubung tindakan menangguhkan pelaksanaan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkaitan keputusan membenarkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraannya secara tahanan di rumah.

“Kami berpandangan bahawa isu ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai persoalan pentadbiran atau perbezaan tafsiran undang-undang semata-mata. Ia menyentuh persoalan yang jauh lebih besar, iaitu penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, kewibawaan titah Yang di-Pertuan Agong dan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan negara.

“Kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan pada 7 November 2026, hendaklah diberikan perhatian serius. Penegasan Istana Negara bahawa perintah pengampunan bersyarat tersebut adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang kekaburan, malah semua syarat yang ditetapkan telah dipenuhi, tidak seharusnya dipandang ringan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, penegasan Istana Negara merupakan suatu peringatan yang amat serius kepada semua pihak.

“Lebih penting, penegasan Istana Negara bahawa ‘sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah KDYM SPB Yang di-Pertuan Agong’ merupakan suatu peringatan yang amat serius kepada semua pihak, khususnya pihak-pihak yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk melaksanakan keputusan serta titah Baginda.

“Sehubungan itu, Wanita UMNO Negeri Selangor menggesa pihak Kerajaan, khususnya pihak berkuasa yang bertanggungjawab, supaya mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Istana Negara dan memastikan titah perintah berkenaan dilaksanakan dengan segera, dengan tertib selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Wanita UMNO Selangor turut mendesak agar Peguam Negara segera direhatkan dan mengambil cuti sementara waktu (leave of absence) bagi membolehkan siasatan polis dijalankan terhadapnya secara telus dan bebas. Desakan ini dibuat susulan daripada tindakan UMNO peringkat negeri dan bahagian di seluruh negara yang telah membuat laporan polis terhadap Peguam Negara kerana didakwa mengingkari dan mempersendakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

“Wanita UMNO Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan memastikan keadilan serta kedaulatan undang-undang negara tidak dicemari oleh mana-mana pihak,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO