Jangan Ikut Rentak Parti Lain, Fokus Terus Perkukuh UMNO – Othman Desa
KUALA LUMPUR, 8 Mei – UMNO memiliki struktur organisasi yang mantap, merangkumi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), kepimpinan perhubungan negeri, bahagian, dan cawangan.
Pengerusi Veteran UMNO merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Othman Desa berkata, struktur organisasi yang kukuh ini harus dipelihara dan dimantapkan oleh seluruh ahli parti dengan semangat kebangkitan semula.
“Kita tidak perlu menari mengikut rentak parti lain. Kita menyanyi ikut rentak UMNO/Barisan Nasional (BN). Pihak luar cuba mengatur strategi dan menyebarkan fitnah, bukan untuk memperkuatkan kita, tetapi untuk memecah-belahkan ahli parti.
“UMNO adalah parti yang menyatukan rakyat, mempertahankan agama, bangsa dan tanah air (ABATA), serta meraikan kepelbagaian kaum melalui kerjasama dalam BN. Jangan berebut kuasa atau mencetuskan perpecahan sesama kita, sebaliknya fokus untuk memelihara dan mengukuhkan parti yang sangat bernilai ini.
“Sama-sama kita bangkitkan semangat perjuangan UMNO, khususnya dalam kalangan generasi muda yang mungkin masih jauh atau tidak memahami perjuangan sebenar parti ini. Kita perlu hidupkan kembali semangat ‘Keluargaku Ahli UMNO’,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, UMNO kekal relevan kerana ia terus memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara sejak sebelum merdeka hingga ke hari ini.
“Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan dengan pembangunan negara, banyak jasa UMNO yang tidak dapat dinafikan.
“Hari ini, UMNO masih utuh. Ia memiliki rekod cemerlang dalam pembentukan kerajaan bersama Perikatan dan BN. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan kepimpinan, UMNO tetap kukuh – dulu, kini dan selamanya.
“Perjuangan ini perlu diteruskan. UMNO bukan sekadar sebuah parti, tetapi satu platform, satu wasiat perjuangan yang mesti dijaga demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” ujar beliau lagi. – UMNO Online