Komitmen Sepenuh Hati Terus Dilaksana Demi DUN Rim – Khaidhirah
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar meneruskan politik khidmat bakti buat penduduk di kawasannya dengan menyantuni rakyat melalui program-program yang dihadiri serta pertemuan secara santai.
Terbaharu Khaidhirah yang lebih dikenali sebagai Dira berkesempatan melakukan ziarah kasih bagi menyantuni rakyat secara lebih dekat selain mengerat silaturahim.
“Memulakan pagi saya dengan menziarahi tiga buah rumah di dalam DUN Rim. Kunjungan pertama saya adalah ke rumah En. Tamilselvam, Ketua M.I.C Cawangan Rim Mutiara yang menetap di Taman Rim Baru.
“Seterusnya, saya berkunjung ke rumah En Md Esa Abu Bakar dan En Md Som Siang di Taman Chenderawasih, Kampung Chenderah.
“Setiap kunjungan ini bukan sahaja mengeratkan silaturrahim malah memberi ruang untuk saya mendengar sendiri pandangan serta harapan penduduk setempat. Terima kasih atas layanan yang mesra dan terbuka.
“Insya-Allah, komitmen untuk terus berkhidmat kepada masyarakat DUN Rim akan diteruskan dengan sepenuh hati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada turut sama hadir pada Mesyuarat UMNO Cawangan Kampung Rim serta sayap-sayap dan Jamuan Terlajak Raya yang diadakan secara serentak.
Khaidhirah malah menyifatkan program seperti ini sebagai medium terbaik untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan keluarga UMNO.
“Alhamdulillah, mesyuarat beres, makan pun beres. Terima kasih daun keladi kepada Datuk Azman Abdullah, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin dan En Raziff Yakop, Bendahari UMNO Bahagian Jasin yang sanggup turun ke cawangan kami.
“Bukan senang nak jumpa ‘time’ semua orang tengah sibuk, tapi demi perjuangan semua jadi. Inilah cara kita mantapkan silaturrahim, kukuhkan perpaduan dan teruskan perjuangan untuk agama, bangsa & tanah air,” ujar beliau. – UMNO Online