‘Peranan Malaysia Dalam Perdagangan Dunia Sangat Besar’ – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Malaysia perlu menunjukkan kematangan dasar serta keupayaan negara untuk menyesuaikan diri dengan perubahan global, kata Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata Malaysia tidak boleh bertindak balas secara konfrontatif, sebaliknya memperkukuh kekuatan sendiri, memperluaskan kerjasama serantau dan antarabangsa melalui dasar jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Walaupun Malaysia ini sebuah negara kecil tapi peranan Malaysia dalam perdagangan dunia adalah sangat besar. Malaysia tidak boleh dilihat sebagai negara kecil yang mudah dibuli dan mengikut telunjuk mana-mana kuasa besar dunia.

“Apa jua situasi yang dihadapi oleh kerajaan pada masa ini dan akan datang, saya letakkan keyakinan kepada pimpinan negara yang diterajui oleh Perdana Menteri untuk mengutamakan kedaulatan negara sebagai asas dalam hubungan antarabangsa.

“Memastikan ekonomi negara sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik serta memelihara segala kepentingan dan hak rakyat khususnya kaum bumiputera,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau ini adalah masa yang tepat untuk Malaysia memperkukuhkan perdagangan sedia ada dengan negara lain dan dalam masa yang sama meneroka pasaran perdagangan baharu.

Katanya, sebagai langkah strategik, Malaysia perlu memperluaskan pasaran eksport ke negara-negara lain yang lebih stabil dari segi dasar perdagangan.

“Tumpuan boleh diberikan kepada pasaran ASEAN, Timur Tengah, Asia Tengah, Afrika dan negara-negara lain yang berpotensi. Inisiatif ini akan membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS dan menyebarkan risiko perdagangan.

“Malaysia perlu mengukuhkan diplomasi perdagangan dengan mendapatkan lebih banyak perjanjian dua hala, serta meningkatkan penglibatan dalam inisiatif seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans- Pasific (CPTPP) serta BRICS,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79