MARA Akan Terus Perkasa Sokongan Kepada Pelajar Tajaan Luar Negara

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memperkasakan sokongan kepada para pelajar tajaan yang sedang berada di luar negara, kata Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO memaklumkan beliau telah meluangkan masa bertemu pelajar-pelajar tajaan MARA di Seoul National University of Science and Technology, Korea Selatan pagi tadi.

“Sesi dua jam lebih ini cukup bermakna bukan sekadar bertukar pandangan mengenai pencapaian akademik mereka, tetapi juga menyelami cabaran hidup jauh di perantauan.

“Beberapa input yang saya terima pada pagi ini amat bermanfaat dan penting untuk saya bawakan kepada pihak pengurusan serta Majlis MARA berkaitan kebajikan pelajar di sini… elaun rumah sewa, kos-kos tajaan di peringkat undergraduate dan postgraduate strategik selari dengan keperluan global yang mampu bermanfaat kepada negara.

“Ada yang berkongsi, kehadiran kami sedikit sebanyak mengubat rindu mereka terhadap tanah air. Saya tersentuh dengan semangat mereka, terpancar kecerdasan, kematangan dan jelas dengan hala tuju masing-masing. Mereka bukan sahaja membawa nama MARA, tetapi juga membawa nama baik agama, bangsa dan negara di bumi asing ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pelajar tajaan tersebut dapat pulang semula ke Malaysia dan menjadi pemimpin masa depan yang membina negara.

“Saya pesan kepada mereka agar sentiasa menjaga akhlak, menjadi duta kecil Malaysia yang mengangkat maruah Islam dengan perilaku yang baik. Dalam masa sama manfaatkan peluang yang ada, kuasai ilmu dan bahasa tempatan di sini, rangkul pengalaman antarabangsa ini sebagai added value dalam persaingan global kelak.

“Insya-Allah, kita akan terus perkasakan sokongan kepada pelajar-pelajar tajaan MARA di luar negara. Moga mereka pulang kelak sebagai teknokrat, profesional, pakar dalam bidang mereka dan menjadi pemimpin masa depan yang membina negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79