Bidas Muhyiddin, Dr Akmal Tegaskan Beliau Tetap Melayu Dahulu Sebelum Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan bahawa “saya Melayu dulu, baru Malaysia” tidak penting lagi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau turut berdoa agar Allah SWT memelihara perjuangan ikhlas demi agama, bangsa dan tanah air serta melindungi negara dari pihak-pihak yang mempergunakan isu tersebut demi kepentingan diri sendiri.
“Pada 2010, Muhyiddin berkata “saya Melayu dahulu sebelum Malaysia”. Pada 2025 pula beliau kata “saya Melayu dahulu baru Malaysia tidak penting lagi”. Allahuakbar benarlah kata orang, demi kuasa manusia berubah.
“Moga Allah pelihara perjuangan yang ikhlas demi agama, bangsa, tanah air ini dan lindungi kita dari orang-orang yang menggunakan agama bangsa demi kepentingan diri sendiri.
“Saya tetap Melayu dahulu sebelum Malaysia kerana itu bangsa saya yang tidak boleh diubah… dulu, kini dan Insya-Allah selamanya,” katanya.
Pada Ahad media melaporkan, Muhyiddin menegaskan beliau kini seorang pemimpin yang mengambil berat terhadap semua rakyat Malaysia dan pandangan lamanya mengenai keutamaan identiti Melayu sudah tidak relevan lagi dalam konteks semasa.
Berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin dalam Festival Perpaduan India di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam, bekas perdana menteri itu menyatakan komitmen gabungannya untuk berlaku adil kepada semua kaum. – UMNO Online