Persidangan Cawangan Medan Akar Umbi Suara Pandangan, Idea
KUALA LUMPUR, 14 April – Mesyuarat cawangan merupakan medan dan peluang terbaik untuk ahli di cawangan menyuarakan pandangan, idea dan pendapat berkaitan parti.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusoff berkata, sikap toleransi terhadap perbezaan pendapat dan pandangan juga perlu diamalkan di setiap peringkat.
“Untuk mengekalkan kesatuan di dalam UMNO, sikap toleransi terhadap perbezaan pendapat dan pandangan haruslah diterapkan serta diamalkan di kalangan pemimpin termasuk ahli di peringkat akar umbi. Ini penting bagi memastikan sebarang konflik dapat diselesaikan secara konstruktif bagi memastikan tiada perpecahan berlaku.
“Selain daripada itu,saluran komunikasi terbuka dan berkesan juga amat penting supaya mesej yang jelas dapat disampaikan di setiap peringkat, terutamanya ahli-ahli di cawangan. Ini untuk memastikan semua ahli memahami dan fokus kepada mencapai matlamat yang sama,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, beliau berharap agar persiapan untuk mengadakan mesyuarat cawangan dapat dijalankan sebaiknya memandangkan ia berlaku di dalam bulan Syawal yang dilihat agak mencabar bagi para perwakilan.
“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan persidangan UMNO cawangan untuk tahun 2025 akan berlangsung mulai 7 April hingga 25 Mei.
“Mesyuarat cawangan yang bakal berlansung pada bulan Syawal sudah pastinya agak mencabar untuk memastikan para perwakilan dapat hadir ke mesyuarat dan korum mencukupi memandangkan banyak undangan rumah terbuka semasa musim perayaan.
“Namun ini adalah medan dan peluang terbaik untuk ahli di cawangan menyuarakan pandangan, idea dan pendapat yang berkaitan dengan parti. Diharap persiapan awal dapat dirangka sebaik mungkin untuk memastikan ahli-ahli cawangan dapat hadir semasa hari persidangan di adakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar para perwakilan memanfaatkan persidangan cawangan di seluruh negara untuk membina jaringan dan menjalin hubungan baik sesama ahli di samping merancang langkah-langkah strategik untuk parti.
“Harapan saya semoga persidangan cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara dapat berjalan dengan lancar dan menjadi satu platform untuk kita membina jaringan serta menjalin hubungan yang baik sesama ahli.
“Selain itu, diharapkan para perwakilan memanfaatkan persidangan ini untuk kita merancang langkah-langkah strategik bagi memastikan cawangan-cawangan UMNO terus relevan dan berdaya-saing dalam membantu kebangkitan semua parti,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman