Malaysia-Vietnam Perkukuh Kerjasama Undang-Undang Sempena Persiapan Kepengerusian ASEAN 2025

KUALA LUMPUR, 12 April – Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Vietnam semalam sebagai sebahagian daripada siri lawatan ke negara-negara anggota ASEAN bersempena dengan persediaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Dalam lawatan tersebut, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO telah bertemu dengan rakan sejawatannya, Nguyen Hai Ninh, Menteri Keadilan Vietnam.

Ujarnya, perbincangan antara kedua-dua menteri berlangsung dengan sangat positif dan membuahkan hasil, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama undang-undang antara Malaysia dan Vietnam.

Menurut Azalina, lawatan itu turut membuka ruang untuk beliau menjemput secara rasmi ke Forum Undang-undang ASEAN 2025 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos nanti dan beliau turut meluahkan rasa terharu atas komitmen positif yang untuk menghadiri forum tersebut.

“Forum ini akan menjadi platform penting untuk mengesahkan komitmen ASEAN terhadap kerjasama dalam aspek perundangan serta integrasi ekonomi melalui institusi undang-undang yang kukuh dan berdaya tahan,” jelasnya dalam hantaran dalam Facebooknya.

Maklum Azalina lagi, perbincangan utama antara kedua-dua menteri tertumpu kepada usaha mengukuhkan kepastian undang-undang di peringkat rantau ASEAN serta memposisikan ASEAN sebagai hab penyelesaian pertikaian yang dipercayai dan berkesan.

“Fokus utama perbincangan kami tertumpu kepada persoalan bagaimana ASEAN secara kolektif boleh mengukuhkan kepastian undang-undang dan meletakkan rantau ini sebagai hab yang dipercayai untuk penyelesaian pertikaian yang berkesan.

“Kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai cadangan Pernyataan Bersama oleh Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN dan membincangkan strategi yang berkesan untuk pembangunan timbang tara dan pengantaraan komersial antarabangsa serta kerjasama undang-undang lain yang berpotensi seperti reformasi undang-undang perniagaan, keselamatan dalam talian dan undang-undang anti-rasuah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit