Ribuan Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Tok Mat Hasan, Suasana Penuh Harmoni
REMBAU, 12 April – Tradisi rumah terbuka merupakan satu pendekatan terbaik menyerlahkan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.
Hari ini, Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Presiden UMNO merangkap Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin diadakan dalam meraikan sambutan hari raya bagi tahun ini.
Bertempat di Kampung Tanjung, Rantau, di sini, berdasarkan tinjauan UMNO Online, rakyat pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina, India dan lain-lain mula membanjiri rumah terbuka berkenaan seawal pukul 9 pagi serta mengambil peluang bertemu dengan Mohamad dan isteri secara dekat.
Pengunjung jelas kelihatan gembira bersalaman dan ramai yang turut mengambil peluang bergambar bersama Mohamad selaku Ahli Parlimen Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan isteri, yang ramah menyambut ketibaan tetamu di hadapan kediamannya itu.
Rakyat juga dilihat menikmati pelbagai juadah yang disediakan di khemah tetamu dan uniknya seperti kebiasaan menu utama disediakan oleh penduduk kampung secara gotong-royong.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran para pemimpin kerajaan dan parti serta duta daripada pelbagai negara.
Seperti tahun sebelum ini yang menjangkau hampir 50,000 orang pengunjung, dijangka jumlah yang hampir sama akan hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bagi kali ini.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan lagu raya dan tradisional dari kumpulan muzik yang dijemput khas ke majlis tersebut. – UMNO ONLINE