Inisiatif KDN Bantu Ringankan Beban Mangsa – Dr Shamsul
KUALA LUMPUR, 4 April – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan diharap dapat membantu mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
Menurut beliau sepertimana arahan Menteri Dalam Negeri berkaitan perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma adalah antara inisiatif yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Sebagaimana arahan Menteri Dalam Negeri ( MDN ) agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.
“Mangsa yang kehilangan kad pengenalan, sijil kelahiran, atau dokumen lain yang dikeluarkan oleh JPN boleh mendapatkan dokumen gantian tersebut tanpa sebarang bayaran.
“Bas MEKAR JPN / Van JPN akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra, Putra Heights mulai semalam 3 April 2025 (Khamis), dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata beliau lagi perkhidmatan Bas MEKAR ke lokasi bagi meringankan beban mangsa yang tentunya menghadapi kesukaran untuk ke Pejabat JPN pada masa sekarang.
“Inisiatif ini turut bertujuan untuk memastikan mangsa kebakaran dapat memperoleh dokumen penting mereka dengan segera, tanpa perlu ke Pejabat JPN. Justeru JPN komited untuk memberikan bantuan terbaik kepada masyarakat yang terjejas,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Shamsul turut membuat tinjauan dan dibawa melawat kawasan bencana selain bertemu dengan pasukan keselamatan dan lain-lain yang bertugas.
“Saya dibawa melawat kawasan berlakunya bencana dan kesempatan yang ada saya bertemu anggota PDRM dan lain lain agensi JPAM, PETRONAS, Anggota MPSJ dan lain yang bertugas di kawasan bencana ini. Komitmen dan kesungguhan anggota PDRM, JPN dibawah KDN serta pelbagai jabatan serta agensi lain melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing masing sangat terpuji dan disanjung tinggi.Terima kasih kepada semua yang terlibat,” tambahnya.- UMNO Online