Raikan Aidilfitri Dengan Keikhlasan Dan Kesyukuran – Dr Akmal

 

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Syawal mengajar makna kesyukuran dan kemaafan serta ia adalah bulan menyatukan hati, mengeratkan silaturahim, di samping menyuburkan kasih sayang melalui amalan bermaafan dan memberi kepada yang memerlukan.

Kegembiraan Aidilfitri bukan hanya milik mereka yang berpakaian baru, tetapi milik mereka yang hatinya bersih dari dendam dan hasad, dan ia adalah cerminan umat Islam selepas sebulan bersekolah di madrasah Ramadan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dalam perutusannya berkata Aildifitri bukan sekadar perayaan tetapi satu peluang untuk memperbaharui hubungan dan menyuburkan nilai kasih dalam masyarakat.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warganegara Malaysia yang ada di dalam negara mahupun di luar negara.

“Bagi yang mahu pulang ke kampung berhati-hati di dalam perjalanan semoga perjalanan anda selamat sampai di destinasi dan Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan salam sayang dari kami semua.

“Moga Aidilfitri yang bakal mendatang ini memberikan seribu kerahmatan pada kita semua. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin,” katanya.

Menerusi takwim yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tarikh hari raya tahun ini dijangka jatuh pada 31 Mac iaitu pada hari Isnin.

Tarikh ini bukan sahaja menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang penuh keberkatan, tetapi juga merupakan waktu bagi umat Islam untuk meraikan kejayaan setelah sebulan berusaha menahan diri dari pelbagai godaan dan memperbanyakkan ibadah. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit