Ahmad Zahid Seru Hayati Semangat Malaysia MADANI Sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Dalam suasana Syawal yang penuh keberkatan, Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati semangat Malaysia MADANI yang menyemai kasih, menyulam harmoni, dan memperkukuh perpaduan sebagai nadi kepada pembangunan negara bangsa.

Beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan bahawa kerajaan terus berusaha untuk mempercepatkan pembangunan dengan membina jambatan yang menghubungkan daerah luar bandar dengan arus kemajuan.

Menurutnya, kerajaan akan terus berbakti untuk memperkasa ekonomi rakyat, membekalkan ilmu di desa, dan memastikan tiada yang ketinggalan dalam pembangunan negara.

“Di bawah agenda kerajaan, pembangunan berlaku dari ladang ke industri, dari madrasah ke teknologi, dan setiap langkah ini adalah janji untuk mewujudkan kesejahteraan yang lestari,” ujar dalam hantaran sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan penghargaan yang tinggi kepada para petugas barisan hadapan yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira waktu dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara.

“Kepada semua perantau, ke mana jua destinasi, berhati-hatilah kerana yang menanti bukan sekadar kampung halaman tetapi juga kasih dan kenangan.

“Di kesempatan Syawal ini, saya Ahmad Zahid Hamidi dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

“Semoga Syawal ini membawa cahaya kebahagiaan, keberkatan dan kedamaian buat kita semua,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit