Media Sosial Medan Tempur Utama Ubah Persepsi Rakyat – Hazratul
KUALA LUMPUR, 21 Mac – Puteri UMNO Negeri Sembilan menyahut baik pandangan dan hala tuju Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan media sosial sebagai medan tempur utama dalam proses pembentukan persepsi rakyat.
Ketuanya, Hazratul Ilani Misdar berkata ia bagi memastikan suara UMNO terus relevan dan dekat di hati rakyat, sejajar dengan perkembangan era digital masa kini yang menjadi asas utama dalam mencorakkan landskap politik tanah air.
“Sebagai sebuah parti yang sentiasa dinamik dan progresif, jentera digital parti di Negeri Sembilan telah digerakkan dengan lebih sistematik melalui beberapa inisiatif strategik, bertujuan untuk penyebaran maklumat berfakta dan tidak mengambil masa yang lama.
“Ini membolehkan kita berjaya menangkis propaganda pihak lawan dan memperbetulkan persepsi yang mungkin akan dimanipulasi pihak tertentu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau dalam pada itu memaklumkan kaedah digital turut digunapakai bertujuan untuk meningkatkan interaksi dua hala antara rakyat dengan 17 wakil rakyat di Negeri Sembilan, termasuklah ahli-ahli parti dengan kepimpinan parti di lapan bahagian Negeri Sembilan.
Katanya dengan cara ini, banyak isu dapat dijawab dan banyak masalah dapat diatasi oleh kepimpinan kita.
“Atas asas itulah, kami di Negeri Sembilan berpandangan bahawa jentera digital di peringkat parti ini harus diberi penekanan yang besar oleh semua pihak, bukan sahaja ahli-ahli Yang Berhormat, malah jentera parti sekali pun. Ini kerana, pilihanraya akan datang adalah pilihanraya perperangan media sosial.
“Justeru, kami akan terus memperhebatkan usaha ini untuk memastikan UMNO kekal sebagai wadah perjuangan rakyat yang relevan dalam arus politik masa kini,” ujar beliau. – UMNO Online