Usul Had Umur 40 Tahun: Strategi Penting Perkasa Peranan Wanita Muda

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Puteri Kebangsaan Parti Makkal Sakti Malaysia berpendapat bahawa usul untuk meningkatkan had umur yang dibawa Pergerakan Puteri UMNO Malaysia merupakan strategi penting bagi memperkasa peranan wanita muda dalam politik.

Ketuanya, Sumitera Devi Balakrishnan berkata, fasa umur tersebut adalah tempoh kematangan yang membolehkan wanita muda lebih bersedia dan berkeyakinan dalam kepimpinan.

“Puteri Barisan Nasional (BN) menyambut baik dan menyokong penuh persetujuan terhadap usul peningkatan had umur keahlian Puteri UMNO daripada 35 ke 40 tahun. Fasa umur ini adalah tempoh kematangan yang membolehkan wanita muda lebih bersedia dan berkeyakinan dalam kepimpinan.

“Dengan pengalaman lebih luas, mereka dapat memperkukuhkan kualiti kepimpinan wanita dalam politik dan membawa perspektif yang lebih matang serta realistik dalam menangani cabaran semasa.

“Kami melihat langkah ini sebagai strategi penting dalam memperkasakan peranan wanita muda dalam politik, memastikan kesinambungan kepimpinan yang lebih berpengalaman dan memperkukuhkan jentera parti,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, Puteri Makkal Sakti telah menetapkan had umur 40 tahun lebih awal dan ia membuktikan bahawa model ini boleh dilaksanakan serta tidak melemahkan gerak kerja parti.

“Usaha ini juga seiring dengan komitmen BN untuk memastikan keterangkuman dan pembangunankepimpinan wanita yang lebih berdaya saing. Puteri Makkal Sakti dengan ini menyokong penuh usul melanjutkan umur keahlian Puteri UMNO atas beberapa rasionalisasi.

“Puteri Makkal Sakti telah menetapkan had umur 40 tahun lebih awal. Ini membuktikan bahawa model ini boleh dilaksanakan dan tidak melemahkan gerak kerja parti.

“Ini menunjukkan bahawa wanita dalam lingkungan 35-40 tahun masih boleh memainkan peranan penting dalam sayap belia dan tidak semestinya perlu berpindah ke sayap utama terlalu awal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar usul yang dibawa ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dapat diterima oleh pucuk pimpinan parti dan Puteri UMNO terus menjadi pemangkin kepada perjuangan politik wanita muda.

“Keupayaan dan keharmonian dalam gerak kerja parti kami tidak pernah terjejas dengan pertikaian. Had umur 40 tahun membuktikan bahawa penetapan ini bukan sahaja praktikal tetapi juga membantu kestabilan kepimpinan sayap kami.

“Jika Puteri Makkal Sakti boleh bertahan dan berkembang dengan model 40 tahun, maka Puteri UMNO juga boleh melaksanakannya dengan lebih baik kerana struktur parti UMNO itu kita sedia maklum lebih kukuh.

“Dengan persetujuan usul ini, kami berharap usul Puteri UMNO dapat diterima oleh pucuk pimpinan mereka dan Puteri UMNO akan terus menjadi pemangkin kepada perjuangan politik wanita muda yang lebih dinamik, inklusif serta relevan dengan keperluan semasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit