PRK: UMNO/BN Yakin Pertahan DUN Ayer Kuning
KUALA LUMPUR, 13 Mac – UMNO/Barisan Nasional (BN) yakin untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini, kata Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Hang Tuah Din.
Ujarnya, Parlimen Tapah dikatakan mempunyai hubungan baik antara kaum dan menjadi lambang kepada komponen BN.
“Untuk PRK Ayer Kuning, kita sebenarnya cukup yakin untuk mempertahankan kerusi ini kerana Tapah sebenarnya adalah lambang kepada BN. Kalau diperhatikan, semua (parti komponen BN) ada di situ.
“Ahli Parlimennya adalah daripada MIC, salah seorang ADUN adalah daripada MCA iaitu ADUN Chenderiang dan juga ADUN Ayer Kuning sebelum ini adalah daripada UMNO.
“Ketiga-tiga (parti komponen) ada di situ. UMNO, MIC, MCA ada di situ. Jadi dari segi hubungan antara kaum di situ cukup baik, maka saya rasa tidak ada masalah,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, beliau melihat masyarakat setempat memberikan respons dan mampu menerima bakal-bakal calon yang dikemukakan dengan baik.
“Jadi, saya nampak dari segi penerimaan masyarakat kepada bakal-bakal calon ini pun cukup baik. Saya yakin kita boleh menang dengan selesa di PRK DUN Ayer Kuning.
“Baru-baru ini juga kita telah membuat perjumpaan dengan Pakatan Harapan (PH) dan mereka juga komited untuk memberikan sokongan kepada calon BN di PRK Ayer Kuning nanti,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian untuk PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Ishsam mewakili BN menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman