‘Jaga Hubungan Bersaudara Islam, Berbeza Parti Tapi Bukan Akidah’ – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata agama Islam sebagai faktor penyatu dalam kalangan umat Islam terutama ketika mengharungi perkembangan isu semasa yang kian mencabar.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) berkata, sebagai saudara Islam perbezaan termasuk dalam politik dirai namun mempunyai sempadan.

“Islam yang menyatukan kita bukan parti politik, bukan organisasi… itu asas yang kita kena faham.

“Hari ini orang cakap macam mana parti-parti politik boleh bersatu? Selamanya parti politik tidak akan bersatu.

“Kita kena ada sempadan… berbeza parti bukan berbeza akidah seperti Allah sebut dalam Surah al-Hujurat, “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu); dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.,” katanya.

Dr Asyraf berkata demikian ketika berucap pada Program Tautan Kasih Ramadan HAWA Malaysia yang diadakan di Surau Jumaat An Naim Wangsa Maju, semalam.

Dalam pada itu kata beliau, Islam memberikan kebebasan dalam membentuk aspek duniawi iaitu konsep bernegara sehinggalah ia membawa penubuhan berorganisasi atau medium politik.

Namun katanya memilih pemimpin mestilah berpandu kepada ciri-ciri sebagaimana yang dianjurkan di dalam Islam.

“Islam itu lebih tinggi daripada segala-galanya, parti ini hanya medium politik demokrasi pilihan raya yang dicipta manusia sudah tentunya ada kelemahan dan tidak sempurna. Apakah boleh kita ambil demokrasi pilihan raya sebagai cara memililih pemimpin dalam islam? Boleh sebab ini bukannya berkaitan dengan ibadah.

“Dalam Islam ada dua hukum iaitu ibadah dan muamalat. Ibadah tak boleh cipta atau diinovasi, namun hal menguruskan dunia Rasulullah SAW bersabda kamu lebih tahu bagaimana hendak menguruskan hal dunia kamu’ yang penting pilih pemimpin yang adil, berakhlak.

“Dalam demokrasi orang tubuhkan parti politik tidak ada yang sempurna tetapi untuk menyatukan umat Islam melalui asas islam dan program seperti ini dalam bulan ramadan untuk memahamkan orang bahawa kita sebenarnya membaca Al-Quran, kiblat yang sama, Allah sebagai Tuhan kita,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit