Veteran UMNO Susun Gerak Kerja Bantu BN Pertahan DUN Ayer Kuning
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Veteran UMNO Malaysia bersama Veteran UMNO Negeri Perak dan Veteran UMNO Bahagian Tapah telah mengadakan perbincangan pada bagi menyusun strategi gerak kerja membantu calon UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N48 Ayer Kuning yang akan bermula 12 April ini.
Menurut Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakob, fokus utama kempen adalah memastikan 6,561 pengundi veteran serta keluarga mereka memberikan sokongan penuh kepada BN dengan kempen akan digerakkan menerusi slogan “Keluargaku Pengundi BN” bagi memastikan kemenangan kali ini.
“Sebanyak 40 program simbang santai berjumpa pengundi akan diatur disemua 20 PDM yang merangkumi 65 cawangan UMNO dalam DUN Ayer Kuning.
“Berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini, Veteran UMNO yakin calon UMNO/BN mampu menang selesa, malah berpotensi mengulangi kejayaan PRK Nenggiri dan Mahkota.
“Dengan kerjasama dan sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh lebih 6,000 undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kami optimis mampu meraih majoriti lebih besar,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.
Beliau turut menegaskan kepentingan pemilihan calon yang tepat oleh Presiden parti, yang mesti diterima dan disokong sepenuhnya oleh Bahagian, Cawangan, serta ahli UMNO.
“Kita memerlukan calon yang diterima rakyat dan pengundi, bukan sekadar popular dalam kalangan ahli parti. Kita perlukan calon WALI, yang mempunyai kualiti kepimpinan dan kepercayaan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Veteran UMNO berharap jentera PH untuk turut serta dalam membantu kempen bagi memastikan kemenangan.
“Veteran juga berharap semua jentera PH akan turun padang membantu bagi mempastikan pengundi Cina (6,747) dan India (4,609) akan mengundi calon UMNO/BN. Pemimpin Orang Asli juga misti turun padang bagi mendapat sokongan 2,156 pengundi kaum mereka,” katanya lagi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown.
Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 12 dan 22 April. – UMNO Online